Barca fokus La Liga

Barca fokus La Liga

MADRID, 1 Mac (Agensi) – Ketua jurulatih Barcelona, Luis Enrique memilih untuk tidak memberi sebarang komen berhubung misi The Catalans mencatat rekod tanpa kalah dalam aksi kempen La Liga selepas pasukannya itu menang 2-1 ke atas Sevilla di Camp Nou.

Jika skuad pendahulu liga itu berjaya menewaskan Rayo Vallecano pada aksi seterusnya, Barcelona bakal memecahkan rekod tanpa kalah yang sebelum ini disandang Real Madrid menerusi catatan 34 perlawanan tanpa kalah ketika kempen La Liga musim 1988-89.

Enrique berkata, kemenangan kelmarin telah mengukuhkan kedudukan Barcelona sebagai pendahulu saingan La Liga, namun beliau enggan berasa terganggu untuk terlalu mengejar rekod tersebut melebihi fokus mempertahankan kedudukan di tempat teratas.

“Saya tidak akan mengulas mengenai misi memecahkan rekod tanpa kalah itu tetapi kami akan terus fokus untuk memburu kejuaraan liga,” ujar Enrique.

Luis Enrique ketika menyaksikan perlawanan pasukannya menentang Sevilla. Enrique memberi tumpuan kepada pasukannya untuk fokus mempertahankan kedudukan mereka di tempat teratas. – Reuters
Luis Enrique ketika menyaksikan perlawanan pasukannya menentang Sevilla. Enrique memberi tumpuan kepada pasukannya untuk fokus mempertahankan kedudukan mereka di tempat teratas. – Reuters

Pada aksi Ahad lalu, Sevilla terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi sepakan voli yang dilakukan Vitolo, sekali gus memaksa Barcelona bekerja lebih keras.Mengulas berhubung perlawanan tersebut, Enrique tidak berasa kekok untuk memuji Sevilla yang dikendalikan Unai Emery sambil menyifatkan skuad itu mampu menggugat Barcelona selaku juara liga ketika ini.

“Sevilla merupakan antara pasukan terbaik. Mereka sebuah pasukan yang berbahaya kerana berupaya memaksa kami bertahan menepis serangan mereka,” tambah Enrique.

Barcelona bagaimanapun mencetak gol penyamaan menerusi sepakan percuma yang disempurnakan Lionel Messi serta jaringan Gerard Pique pada separuh masa kedua untuk mengutip tiga mata penuh.