Barca julang Piala Dunia Kelab

Barca julang Piala Dunia Kelab

YOKOHAMA, 20 Dis (Reuters) – Lionel Messi memecahkan kebuntuan pada separuh masa pertama dan Luis Suarez menjaringkan dua gol pada separuh masa kedua untuk memberikan kemenangan 3-0 buat Barcelona ke atas River Plate dalam perlawanan akhir Piala Dunia Kelab hari ini.

Juara Amerika, River Plate, yang bernilai hanya AS$5.43 juta dalam yuran perpindahan, berjaya memberikan cabaran kepada juara Eropah pada separuh masa pertama namun tidak berupaya memecahkan benteng selepas ketinggalan di belakang.

Messi, hanya bermain buat kali kedua menentang kelab Argentina dalam kerjayanya, memperlihatkan kawalan yang hebat dan berjaya menyudahkan tandukan daripada Neymar pada minit ke-36.

Penyerang Uruguay Suarez pula meledak melepasi pertahanan River Plate empat minit selepas separuh masa kedua bermula dan menanduk satu lagi gol hasil umpanan Neymar untuk menambah jumlah jaringannya kepada lima gol pada kejohanan itu.

Barcelona ketika menjulang Piala Dunia Kelab apabila berjaya menewaskan juara Amerika, River Plate 3-0. – AFP
Barcelona ketika menjulang Piala Dunia Kelab apabila berjaya menewaskan juara Amerika, River Plate 3-0. – AFP

River Plate, yang disokong oleh 15,000 peminat fanatik, membuat permulaan yang menjanjikan dengan Rodrigo Mora dan Lucas Alaria kedua-dua mendapat kedudukan sepakan yang baik namun mensia-siakan dengan ledakan lemah yang dengan mudah diselamatkan oleh penjaga gol Barcelona Claudio Bravo.

Cubaan Messi pada awalnya dapat dihalang oleh Marcelo Barovero sebelum menjaringkan gol pertama dan jaringannya merupakan tanda bagi Barcelona untuk meningkatkan perlawanan.

Juara Eropah itu, yang memainkan enam pemain Amerika Selatan dalam kesebelasan utama, dengan mudah menembusi benteng pasukan lawan yang dilihat setiap serangan boleh membawakan hasil dalam perjalanan mereka memenangi gelaran Piala Dunia Kelab buat kali ketiga.