Barca kecundang lagi

Barca kecundang lagi

MADRID, 10 April (AFP) – Barcelona menerima tamparan apabila tewas buat kali kedua berturut-turut yang menyaksikan perebutan trofi La Liga kembali terbuka selepas tandukan Mikel Oyarzabal membantu Real Sociedad mencatat kemenangan 1-0 ke atas juara bertahan itu, awal pagi tadi.

Atletico Madrid kini hanya tiga mata di belakang Barca selepas gol daripada Fernando Torres, Antoine Griezmann dan Koke membolehkan mereka bangkit daripada ketinggalan untuk menundukkan Espanyol 3-1.

Cristiano Ronaldo turut mengekalkan usaha Real Madrid untuk terus mengejar gelaran liga dengan kekurangan satu mata di kedudukan ketiga selepas penyerang Portugal itu mencetak satu dan mencipta dua gerakan gol ketika membelasah Eibar 4-0 dalam satu lagi pertemuan awal.

Tekanan kini semakin memuncak ke atas gergasi Catalans selepas menelan kekalahan kedua dalam tempoh seminggu susulan rekod tanpa tewas 39 perlawanan dipadamkan Real minggu lalu.

Aksi pemain Real Sociedad ketika menentang Barcelona di Sepanyol. Barcelona menerima tamparan apabila tewas buat kali kedua selepas tandukan Mikel Oyarzabal membantu Real Sociedad mencatat kemenangan 1-0 ke atas juara bertahan itu, awal pagi tadi. – Reuters
Aksi pemain Real Sociedad ketika menentang Barcelona di Sepanyol. Barcelona menerima tamparan apabila tewas buat kali kedua selepas tandukan Mikel Oyarzabal membantu Real Sociedad mencatat kemenangan 1-0 ke atas juara bertahan itu, awal pagi tadi. – Reuters

“Ia adalah liga yang menakjubkan dan terbuka dengan pasukan terbaik akan memenanginya,” kata jurulatih Barca Luis Enrique.

“Kami bermain buruk pada babak pertama. Dalam aksi menentang sebuah pasukan yang gemar bertahan seperti Real Sociedad kami perlu lebih tersusun dan mengawal penguasaan untuk memusnahkan permainan lawan.”

Keputusan itu menyaksikan Barcelona terus kempunan untuk mencatat kemenangan di tempat lawan dalam tujuh pertembungan terakhir termasuk empat kekalahan dalam pertemuan di San Sebastian.

ARTIKEL YANG SAMA