Barca langkah kanan

Barca langkah kanan

RIO DE JANEIRO, 15 Ogos – Barcelona memulakan langkah kanan untuk menjulang Piala Super Sepanyol selepas kebangkitan pada babak kedua melalui jaringan Luis Suarez dan Munir El Haddadi yang memastikan kemenangan selesa 2-0 ke atas Sevilla pada aksi pertama, awal pagi tadi.

Suarez, penjaring terbanyak La Liga musim lalu, memecahkan kebuntuan dengan jaringan pada minit ke-53 dan pemain gantian, Munir menggandakan jaringan pada minit ke-81 untuk meletakkan Barca mendahului sebelum aksi timbal balik di Nou Camp.

“Ia keputusan yang sangat baik, belum muktamad, tetapi perlawanan kedua penting bagi kami,” kata jurulatih Barca, Luis Enrique.

“Saya berasa amat positif dan bukan hanya kerana keputusan itu. Kami tahu apa yang Sevilla mampu lakukan, bagaimana keupayaan mereka dan mereka lebih kuat di stadium sendiri. “Kami bermain dengan baik pada separuh masa pertama tetapi lebih baik pada babak kedua.

Aksi Lionel Messi pada perlawanan tersebut. – AFP
Aksi Lionel Messi pada perlawanan tersebut. – AFP

Kami mencipta banyak gerakan bahaya, lebih banyak peluang dan membentuk permainan lebih baik,” katanya.

Neymar sedang bersama Brazil untuk tugasan di Sukan Olimpik, Luis Enrique meletakkan Arda Turan di belakang Lionel Messi dan Suarez.

Walaupun permulaan yang baik, Barca bergelut untuk tempoh yang lama di Sanchez Pizjuan dan Enrique terpaksa membuat pertukaran di babak pertama dengan pemain pertahanan Jeremy Mathieu dan tonggak tengah Andres Iniesta dikeluarkan akibat kecederaan. – AFP