Barca mara penuh bergaya

Barca mara penuh bergaya

VALENCIA, 11 Feb – Gol penyamaan lewat permainan daripada pemain remaja Cameroon, Wilfrid Kaptoum, membolehkan Barcelona mengikat Valencia 1-1, sekali gus mara ke perlawanan akhir Piala Raja Sepanyol dengan agregat 8-1.

Meskipun pasukan bimbingan Gary Neville itu sekadar seri pada aksi separuh akhir kedua itu, ia sedikit melegakan terutama selepas Barca membelasah pasukan terbabit 7-0 pada aksi separuh akhir pertama di Nou Camp.

Juara Eropah yang layak ke pentas akhir buat kali keenam dalam tempoh lapan musim itu akan bertemu sama ada Celta Vigo atau Sevilla pada perlawanan akhir nanti.

“Saya gembira kerana berjaya layak ke perlawanan akhir sekali lagi. Ini adalah antara perlawanan terbaik pada musim ini,” kata jurulatih Barcelona, Luis Enrique.

Keputusan seri terbabit menyaksikan Barcelona tidak tewas dalam 29 perlawanan, sekali gus memintas rekod terdahulu yang dicatat Pep Guardiola pada musim 2010/2011.

Kaptoum (tengah) meraikan kejayaan selepas berjaya menjaringkan gol bersama Vidal Aleix dan Munir El Haddadi (kiri) semasa perlawanan menentang Valencia. – AFP
Kaptoum (tengah) meraikan kejayaan selepas berjaya menjaringkan gol bersama Vidal Aleix dan Munir El Haddadi (kiri) semasa perlawanan menentang Valencia. – AFP

Alvaro Negredo meletakkan Valencia di hadapan pada minit ke-39 sebelum Kaptoum yang dimasukkan selaku pemain gantian meledak gol penyamaan pada minit ke-84.

Pada perlawanan itu, Enrique merehatkan kebanyakan tonggak utamanya, termasuk Lionel Messi, Luis Suarez, Neymar dan Gerard Pique.

Enrique turut mengulas mengenai suasana hambar di Stadium Mestalla dengan kehadiran penonton tuan rumah yang kurang memberangsangkan.

“Pelik sedikit, namun ia mungkin kerana keputusan (7-0) daripada separuh akhir pertama yang lalu,” katanya.

Sementara itu, Neville yang merehatkan beberapa tonggak utamanya, berpuas hati dengan persembahan anak buahnya meskipun berdepan kemarahan penyokong yang kecewa dengan prestasi pasukan itu. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA