Barca memang layak julang Piala

Barca memang layak julang Piala

BARCELONA, 18 Ogos – Luis Enrique tampil memuji barisan bintang Barcelona selepas skuad bimbingannya itu mengetepikan Sevilla 3-0 untuk menjulang gelaran ke-12 Piala Super Sepanyol, malam tadi dengan agregat 5-0.

Arda Turan dan Lionel Messi memainkan watak pemusnah dalam membedil skuad The Andalusians di Nou Camp, dan kemenangan itu bermakna pengendali terbabit sudah memenangi lapan daripada 10 pertandingan yang disertai sepanjang mengemudi Barcelona.

Dengan tuan rumah membawa bekalan selesa dua gol ketika aksi pertama, Sevilla cuba mencari gol awal namun banyak mempersia-siakan peluang terhidang sebelum hajat mereka itu terus terpadam oleh kehebatan bola sepak Barcelona.

Turan mempamerkan persembahan terbaiknya untuk gergasi Catalans selepas penampilan hambar musim lalu, meletak nama sebagai penjaring pada setiap babak.

Namun, Messi yang menjadi arkitek dalam merancang serangan bertali arus terhadap Sevilla sehingga membuatkan mereka terpaksa bertahan di kubu sendiri sepanjang babak kedua.

Pemain Barcelona meraikan kejayaan merangkul Piala Super Sepanyol selepas menewaskan Sevilla di Camp Nou, kelmarin. – AP
Pemain Barcelona meraikan kejayaan merangkul Piala Super Sepanyol selepas menewaskan Sevilla di Camp Nou, kelmarin. – AP

“Saya bernasib baik kerana mempunyai kelompok pemain yang unik ini, yang tidak henti-henti membuat kejutan kepada saya,” kata Enrique dalam sidang media selepas perlawanan.

“Mereka sangat berbeza dan apa yang bagusnya pemain baharu begitu ghairah mahu meniru barisan pemain lama yang sudah lama berada di sini. Ia satu penghormatan buat saya.”

Sevilla bermula cemerlang dengan Ben Yadder memaksa penjaga gol Claudio Bravo menyelamatkan keadaan.

Barcelona berjaya menahan tekanan awal dan ia hanya memerlukan 10 minit untuk anak-anak buah Enrique membuka tirai jaringan menerusi percubaan Turan, hasil gerakan menarik Andre Gomes dan Messi.

Gomes menjadi satu daripada empat pemain yang ditandatangani Barcelona pada musim panas ini dan tiga lagi pemain, Samuel Umtiti, Denis Suarez dan Lucas Digne yang turut dimasukkan dalam kesebelasan utama.

Turan menambah duka Sevilla apabila melepaskan rembatan menarik sebaik dua minit bersambung babak kedua sebelum tidak lama kemudian tiba giliran Messi menjadikan 3-0 apabila menanduk masuk bola hantaran Digne. – AFP