Barca penanda aras Atletico – Simeone

Barca penanda aras Atletico – Simeone

MADRID, 21 Sept – Jurulatih Atletico Madrid Diego Simeone (gambar) percaya Barcelona kekal sebagai penanda aras menjelang pertembungan blockbuster pertama musim La Liga antara pasukannya dan juara Sepanyol itu, esok.

Skuad Simeone menyingkirkan Barca dari Liga Juara-Juara buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun musim lalu, tetapi pengurus dari Argentina itu masih belum lagi merasai kemenangan menentang Catalan dalam La Liga sejak lima tahun di sana.

“Mereka terus bermain dengan bijak dan memiliki pemain yang membuat paling banyak perbezaan individu dan kolektif,” kata Simeone kelmarin.

“Walaupun mereka tidak memenangi Liga Juara-Juara tahun lepas, nilai itu sudah meletakkan mereka di tempat yang luar biasa.”

Dua kemenangan Barca dalam pertemuan La Liga antara kedua-dua pasukan itu musim lalu terbukti penting dalam perlumbaan merebut gelaran dengan Atletico selesai hanya tiga mata di belakang skuad Luis Enrique di tempat ketiga.

Atletico tidak pernah menang di Camp Nou sejak Fernando Torres menjaringkan dua gol dalam kemenangan 3-1 buat kali pertama untuk kelab itu pada 2006.

Bagaimanapun, Torres percaya perjalanan Atletico ke Barca pada masa yang tepat selepas mencecah 10 gol tanpa bolos dalam tiga perlawanan terakhir.

“Ini adalah masa yang baik untuk melawat Barcelona,” katanya selepas menjaringkan dua gol dalam kemenangan 5-0 Atletico ke atas Sporting Gijon Sabtu lalu.

“Mereka bermain dengan permainan yang sudah biasa bagi kami. Mereka tanpa diragui adalah lawan kami yang paling sukar dalam beberapa tahun ini dan kami tahu bagaimana sukarnya berdepan mereka. Tetapi keyakinan anda bertambah apabila anda bermain dengan baik dan menang.”

Namun, kedua-dua pasukan hanyut dalam kempen awal liga dengan Barca sudah tiga mata di belakang pendahulu liga Real Madrid dan Atletico pula satu mata di belakang.

“Mereka adalah salah satu pasukan terbaik dalam La Liga dan jelas pesaing bagi semua gelaran sejak di bawah kendalian Simeone,” jurulatih Barcelona Enrique memberi amaran.

“Tidak ada satu permainan yang mudah menentang Atletico Madrid pada tahun-tahun kebelakangan ini.” – AFP