Barca rangkul Piala Super UEFA

Barca rangkul Piala Super UEFA

TBILISI, 12 Ogos – Barcelona menambah koleksi trofi kejuaraan ketiganya apabila menjuarai Piala Super UEFA dalam perlawanan penuh dramatik menewaskan Sevilla 5-4, semalam.

Sevilla memberi tentangan hebat meskipun Barca pada satu masa mendahului selesa 4-1, namun bangkit merapatkan jurang 4-4 untuk mengheret perlawanan kepada masa tambahan.

Pedro Rodriguez bagaimanapun menjadi penyelamat Barca apabila menyumbat gol kemenangan pada minit ke-115. Sebelum itu, dua sentuhan magis Lionel Messi menerusi sepakan percuma menghasilkan gol pada minit ketujuh dan ke-16.

Gol ketiga Barca diperoleh menerusi Rafinha pada minit ke-44 dan Luis Suarez pula menambah koleksi gol pada minit ke-52. Sebelum itu Sevilla mengejutkan Barca menerusi gol pendahuluan pada minit ke-3 menerusi Ever Banega.

Jose Antonio Reyes kemudian merapatkan defisit menerusi jaringan pada minit ke-57 sebelum Kevin Gameiro menyudahkan penalti pada minit ke-73.

Ledakan penyerang Yevhen Konoplyanka pada minit ke-81 pula mengikat kedudukan 4-4 untuk memaksa permainan diheret ke masa tambahan. – AFP

Pemain Barca meraikan kejayaan merangkul Piala Super UEFA semalam. – AFP
Pemain Barca meraikan kejayaan merangkul Piala Super UEFA semalam. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA