Barca sasar 9 mata di depan

Barca sasar 9 mata di depan

MADRID, 19 Feb (AFP) – Barcelona mampu melebarkan jurang kepada sembilan mata di puncak La Liga menjelang pertembungan Liga Juara-Juara berdepan Arsenal minggu depan ketika berkunjung ke Las Palmas, esok.

Juara Eropah itu meneruskan rentak tanpa kalah mereka dalam semua kejohanan kepada 31 perlawanan dengan melakar tujuh kemenangan berturut-turut di saingan La Liga, terima kasih kepada dua jaringan Lionel Messi dan gol ke-40 Luis Suarez musim ini ketika menewaskan Sporting Gijon 3-1, Rabu lalu.

Perlawanan itu ditunda sejak Disember lalu ekoran komitmen Barca dalam Piala Kelab Dunia dan kemenangan bakal memberi tekanan kepada Atletico Madrid dan Real Madrid yang dijadual mengharungi perlawanan keesokan harinya.

“Kejohanan masih panjang dan masih belum ada apa-apa yang dibincangkan lagi,” kata pemain tengah Barca, Ivan Rakitic. “Ketika ini kami perlu memberi tumpuan kepada perlawanan yang kami akan tempoh hujung minggu ini.

Trio MSN Barca meraikan jaringan semasa menentang Celta Vigo dalam aksi La Liga di Camp Nou, 14 Februari lalu. – Reuters
Trio MSN Barca meraikan jaringan semasa menentang Celta Vigo dalam aksi La Liga di Camp Nou, 14 Februari lalu. – Reuters

“Rekod tanpa kalah itu memberi kami motivasi berguna tetapi apa yang penting apakah yang kamu raih di hujung musim. Kami perlu kekal merendah diri dan terus berusaha gigih.”

Pengendali pasukan, Luis Enrique dijangka melakukan satu lagi perubahan tatkala dirinya perlu memikirkan kunjungan ke Emirates, Rabu ini.

Sergio Busquets masih berada dalam penggantungan manakala Javier Mascherano, Jordi Alba dan Dani Alves dijangka dapat kembali bersama pasukan selepas berehat pada pertengahan minggu lalu.

Namun, tiga bintang utama di bahagian jentera serangan, Messi, Suarez dan Neymar tetap dijangka akan diturunkan.

ARTIKEL YANG SAMA