Barca sasar kebangkitan

Barca sasar kebangkitan

MADRID, 16 Ogos (AFP) – Bos Barcelona, Luis Enrique mempertahankan skuad bimbingannya dan yakin mereka mampu melakar kebangkitan pada perlawanan timbal balik Piala Super Sepanyol menentang Athletic Bilbao, awal pagi Selasa ini.

Pada perlawanan pertama awal pagi tadi, Barcelona dimalukan dengan kekalahan besar 4-0.

Gol-gol Bilbao dijaringkan Mikel San Jose seawal minit ke-13 permainan sebelum Aritz Aduriz meledakkan hatrik pada babak kedua membawa pasukan itu di ambang untuk menjulang trofi pertama sejak 31 tahun lalu.

“Jika ada sesiapa yang mampu mengubah perkara ini, ia adalah Barca. Kita lihat pada Isnin (Selasa) dan kami akan memberikan segala-gala yang kami miliki,” kata Enrique.

Juara Eropah, Barca menjulang trofi kelima mereka tahun ini, awal minggu ini selepas menewaskan Sevilla 5-4 pada perlawanan Piala Super Eropah.

Begitupun, jentera pertahanan sekali lagi menjadi perhatian apabila gergasi Catalan itu mensia-siakan kelebihan 4-1 sebelum berkerja keras untuk mencatat kemenangan 5-4.

Ia kali pertama dalam tempoh 14 tahun Barca melepaskan empat gol dalam dua perlawanan berturut-turut.

“Ia membimbangkan saya kerana kami melepaskan banyak gol,” kata Enrique. “Kami akan menganalisa dan memperbaikinya,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA