Barca sedia t...

Barca sedia teruskan perjuangan – Enrique

BARCELONA, 5 Jan – Jurulatih Barcelona Luis Enrique menegaskan tiga bintang penyerangnya berada dalam fizikal terbaik biarpun dibenarkan untuk melanjutkan rehat ketika musim sejuk.

Lionel Messi, Luis Suarez dan Neymar dibenarkan untuk berehat dalam kemenangan Barca membenam Hercules 7-0 dalam Copa del Rey 21 Disember lalu untuk kembali ke Amerika Selatan bagi meraikan Krismas dan Tahun Baru dan hanya kembali berlatih pada 2 Januari lepas, tiga hari selepas rakan sepasukan mereka berehat.

“Kami semua menikmati beberapa hari percutian,” kata Luis Enrique menjelang aksi pertama Barca pada 2017 di gelanggang luar menentang Athletic Bilbao dalam perlawanan pertama Copa del Rey mereka dalam 16 pusingan terakhir hari ini.

“Percutian bermakna tidak hadir ke padang latihan, tetapi bukan dari segi persediaan kerana mereka semua mengikuti arahan dan tugasan fizikal.

“Saya gembira dengan apa yang saya lihat pada hari kedua kepulangan mereka pada 30 hari bulan bersama kepulangan yang lain. Saya rasa kami kembali dengan lebih baik berbanding sebelum ini.

“Saya gembira mereka dapat menikmati masa tersebut bersama keluarga dan respons dalam latihan.”

Barca perlu berada dalam keadaan fizikal terbaik dengan jadual padat 19 perlawanan dalam La Liga, Piala dan Liga Juara-Juara untuk tempoh dua bulan jika mara ke separuh akhir Copa del Rey.

“Bulan Januari ini penting untuk terus kekal dalam Piala Raja dan mengekalkan hasrat untuk memenangi segala-galanya,” tambah Luis Enrique, yang mana pasukannya memenangi Copa del Rey dua musim berturut-turut.

“Kemungkinan beraksi 19 perlawanan adalah berita bagus, pertama dan paling utama kerana kami akan meneruskan semua persaingan.

“Untuk itu anda memerlukan skuad besar, bukan kerana jurulatih suka membuat penggiliran, tetapi kerana terdapat kecederaan dan penggantungan yang mungkin penting.

“Jadi, kami perlu memiliki banyak sumber memandangkan saya memiliki pilihan saya sekarang, dan tahu bagaimana untuk menggunakan mereka.” – AFP