Barca semakin kukuh

Barca semakin kukuh

MADRID, 7 Mac (AFP)  – Dua gol Lionel Messi membantu Barcelona untuk kemenangan memuaskan 4-0 ke atas Eibar di saingan La Liga yang memberikan mereka jurang lapan mata di persada liga dan memberikan gol ke-100 bagi gandingan penyerang mereka, awal pagi tadi.

Munir El Haddadi membuka jaringan apabila menampan masuk hantaran Luis Suarez dan Messi menggandakan gol dengan memperagakan kemahiran individu yang tinggi sebelum babak pertama tamat.

Pemain Terbaik Dunia itu kemudian meledak gol ketiga apabila mudah menyempurnakan sepakan penalti sebelum Suarez melengkapkan kemenangan bergaya Barca.

Kemenangan Barca itu adalah yang ke-11 berturut-turut dan melebarkan rekod 36 perlawanan tanpa kalah mereka.

“Ini membuktikan kami berada dalam kedudukan baik dalam liga tetapi masih banyak mata yang perlu diraih dalam pertemuan dengan pencabar lain,” kata pengurus Barca, Luis Enrique.

Lionel Messi yang menjaringkan dua gol buat pasukannya dalam perlawanan tersebut. – AFP
Lionel Messi yang menjaringkan dua gol buat pasukannya dalam perlawanan tersebut. – AFP

“Pasukan dalam keadaan baik dan tidak kehilangan cita-cita mereka. Apabila pemain-pemain ini dalam keadaan sebegini, ia begitu sukar untuk menghalang mereka,” ujar Luis Enrique lagi.

“Tiada siapa pun tahu sama ada kami dapat mengulangi keadaan sebegini pada perlawanan akan datang,” dia memberitahu wartawan.

“Terdapat 30 mata lagi untuk dimainkan. Kami tidak akan terganggu apabila digelar juara sebelum masanya. Anda memenangi liga ini apabila secara matematiknya tiada lagi mata untuk dimainkan.”

Atletico Madrid kekal lapan mata di belakang Barca tatkala 10 perlawanan berbaki apabila Fernando Torres yang masuk sebagai pemain gantian menyumbat gol untuk membantu menewaskan Valencia 3-1.