Barca tumbang...

Barca tumbang di Bilboa

MADRID, 6 Jan – Pasukan Athletic Bilbao bertahan dengan sembilan pemain sebelum mengesahkan kemenangan pertama mereka ke atas Barcelona dalam tempoh empat tahun, sekali gus membawa kelebihan agregat 2-1 pada perlawanan kedua peringkat 16 pasukan terakhir Copa del Rey pada 11 Januari ini.

Dua gol dalam tempoh tiga minit hasil sumbangan Aritz Aduriz dan Inaki Williams pada pertemuan awal pagi tadi meletakkan pasukan tuan rumah selesa mendahului gergasi Sepanyol itu pada separuh masa pertama.

Sepakan percuma menarik Lionel Messi berjaya merapatkan jurang kedudukan selepas rehat, namun tiada gol tambahan dijaringkan pelawat meskipun Bilbao terpaksa beraksi kurang pemain.

Pemain Terbaik Dunia lima kali itu hampir menyelamatkan juara Sepanyol itu daripada kekalahan, namun cubaannya tersasar beberapa inci apabila menggegarkan palang selepas dua pemain Bilbao, Raul Garcia dan Ander Iturraspe dibuang padang.

Bos Barca, Luis Enrique menyenaraikan ketiga-tiga penyerang utamanya, Messi, Luis Suarez dan Neymar meskipun memberikan mereka cuti rehat tambahan yang menyaksikan mereka hanya kembali ke kem latihan pada Isnin lalu.

Bintang Barcelona, Neymar terjatuh apabila cuba merebut bola dengan Xabier Etxeita dalam aksi peringkat 16 pasukan terakhir Copa del Rey di Stadium San Mames. – AP
Bintang Barcelona, Neymar terjatuh apabila cuba merebut bola dengan Xabier Etxeita dalam aksi peringkat 16 pasukan terakhir Copa del Rey di Stadium San Mames. – AP

Ini adalah kali keenam Barca dan Bilbao diundi bersama dalam kejohanan piala itu dalam tempoh sembilan musim termasuk tiga di pentas final.

Barcelona muncul pemenang dalam kelima-lima pertemuan terbabit namun, Bilbao tampak tidak mahu mengalah dengan dua gol cantik pertama menerusi Aduriz yang cemerlang menanduk masuk hantaran Garcia pada minit ke-25.

Selain dua kad merah kepada Bilbao, perlawanan itu turut dicemari dengan kontroversi apabila Aduriz terselamat daripada hukuman kerana menyiku Samuel Umtiti.

Tidak ada pasukan yang lain selain Real Madrid pernah menyingkirkan Barca daripada piala itu sejak 2008 dan juara bertahan itu tetap yakin untuk menterbalikkan keputusan itu di laman sendiri pada minggu depan. – AFP