Barca ‘uji’ Real Sociedad

MADRID, 12 Jan – Barcelona mengakhiri minggu sibuk dalam dan luar padang dengan berkunjung ke Real Sociedad, di mana pendahulu liga Sepanyol itu belum memperolehi kemenangan seperti kembali ke tahun 2007.

Philippe Coutinho melengkapkan perpindahan yang bernilai AS$192 juta dari Liverpool Isnin lalu dan merupakan perpindahan ketiga termahal dalam sejarah walaupun kecederaan paha membantutkan pemain Brazil itu membuat penampilan pertama Ahad ini menentang Real Sociedad.

Barca sekali lagi mencapai persetujuan semalam untuk mendapatkan pemain pertahanan Colombia, Yerry Mina, pemain tinggi lampai berusia 23 tahun itu melengkapkan perpindahan dengan kontrak lima tahun dari Palmeiras untuk mengisi kekosongan bahagian pertahanan di mana Javier Mascherano akan berhijrah ke China.

Skuad kendalian Ernesto Valverde mara ke peringkat suku akhir Copa del Rey yang menyaksikan bintang Argentina, Lionel Messi menjaringkan dua gol dalam perlawanan menentang Celta Vigo yang berkesudahan 5-0 di Camp Nou.

Barca kekal dengan rekod tanpa kalah di mana musim ini hampir mencapai kemuncaknya dan memiliki kelebihan sembilan mata mengatasi Atletico Madrid dengan juara bertahan Real Madrid tercicir 16 mata di belakang Barcelona.

Lionel Messi (kanan) mengawal bola sambil diperhatikan oleh pemain Celta Vigo dalam perlawanan Copa del Rey di Camp Nou semalam. – AFP

Selepas memperolehi kemenangan 1-0 dalam saingan Copa del Rey musim lepas menerusi sepakan penalti Neymar, Barca bergelut beberapa kali di Anoeta di mana kelab itu beroleh kejayaan semasa Frank Rijkaard mengendalikan kelab Catalan itu pada Mei 2007.

Sementara itu, lima kemenangan dalam enam perlawanan mengekalkan Atletico dalam rebutan gelaran tetapi kelab Diego Simeone juga berdepan dengan tugas yang agak sukar esok iaitu menentang Eibar.

“Ipurua merupakan tempat yang sangat merumitkan. Kami sering memperolehi tiga mata di sana tetapi ia tempat yang sukar. Kami perlu merendah diri,” kata pemain tengah Atletico Saul Niguez, yang dijangka akan kembali selepas terlepas beraksi kerana digantung perlawanan.

“Pusingan pertama musim ini sangat positif. Kami berdepan beberapa kesukaran: stadium baru, beberapa perlawanan awal di tempat lawan, kami dilarang mendapatkan pemain tetapi pasukan memberi respon yang baik. – AFP