Barcelona, Bayern lebih awal layak

Barcelona, Bayern lebih awal layak

PARIS, 25 Nov (AFP) – Bayern Munich mengiringi Barcelona melayakkan diri ke pusingan 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara Eropah selepas menewaskan Olympiakos 4-0, dalam aksi peringkat kumpulan, semalam.

Douglas Costa, Robert Lewandowski, Thomas Mueller dan Kingsley Coman masing-masing meledak jaringan untuk The Bavarians, yang menang selesa meskipun bermain 10 pemain selepas Holger Badstuber dibuang pada pada awal separuh masa kedua.

Skuad bimbingan Pep Guardiola itu hampir pasti menjuarai Kumpulan F, manakala Arsenal masih dalam saingan selepas Alexis Sanchez meledak hatrik untuk kemenangan 3-0 ke atas Dinamo Zagreb di London.

Mereka tidak menyembunyikan hasrat untuk memenangi kejuaraan Bundesliga, Piala Jerman dan Liga Juara-Juara dengan jurulatih Pep Guardiola dalam tahun terakhir kontrak semasa.

“Kami sentiasa dahagakan kejayaan seperti yang kita lihat sekali lagi malam ini,” kata pengarah sukan Bayern Matthias Sammer.

Pemain Barca, Gerard Pique (kanan) meraikan gol bersama Lionel Messi (kiri) dan Luis Suarez semasa menentang AS Roma dalam aksi Liga Juara-Juara di Camp Nou semalam. – AFP
Pemain Barca, Gerard Pique (kanan) meraikan gol bersama Lionel Messi (kiri) dan Luis Suarez semasa menentang AS Roma dalam aksi Liga Juara-Juara di Camp Nou semalam. – AFP
Pemain Bayern, Mueller meraikan jaringan bersama Arjen Robben dan Lewandowski semasa menentang Olympiakos di Allianz Arena, Jerman semalam. – Reuters
Pemain Bayern, Mueller meraikan jaringan bersama Arjen Robben dan Lewandowski semasa menentang Olympiakos di Allianz Arena, Jerman semalam. – Reuters

Sedikit pasukan yang sanggup memandang remeh soal menghadapi Bayern pada pusingan kalah mati tetapi kapten Philipp Lahm berkata, adalah penting untuk pasukannya untuk memastikan mereka mencapai kemajuan dahulu, sekali gus mengelakkan pertembungan 16 terakhir dengan juara kumpulan lain termasuk Barcelona.

“Memang sentiasa penting untuk selesai di tempat pertama,” kata bekas ketua pasukan Jerman itu. “Adalah satu kelebihan dalam 16 pasukan terakhir apabila aksi timbal balik di laman sendiri dan itulah cara terbaik untuk mengakhiri tahun ini.”

Tetapi Sammer berkata beliau tidak bersetuju dengan keputusan pengadil Sweden Jonas Eriksson melayangkan kad merah kepada Badstuber kerana menjatuhkan pemain antarabangsa Nigeria Brown Ideye, yang menjaringkan gol selepas 53 minit berlalu.

“Bagi saya itu bukan kesalahan untuk dibuang padang, saya tidak akan meniup wisel untuk insiden seperti itu,” katanya.

Badstuber akan terlepas perlawanan terakhir peringkat kumpulan Bayern apabila gergasi Bavaria itu berkunjung ke Dinamo Zagreb dalam masa dua minggu lagi.

Arsenal kekal dengan tiga mata di belakang Olympiakos yang menduduki tempat kedua namun Arsenal akan bertandang ke Greece bulan depan untuk menentukan pasukan mana di tempat kedua.

Barcelona terlebih dahulu menempah tiket sebelum wisel permulaan permainan menentang Roma, dalam Kumpulan E apabila keputusan antara BATE Borisov dan Bayer Leverkusen di Belarus berakhir dengan seri 1-1.

Juara bertahan Eropah itu tiada masalah untuk membenam Roma dengan bergaya 6-0 di Camp Nou, menyaksikan Luis Suarez dan Lionel Messi masing-masing meledak dua gol.

Chelsea juga semakin hampir untuk layak dalam Kumpulan G selepas mencatat kemenangan selesa 4-0 menentang Maccabi Tel Aviv manakala Dynamo Kiev masih bernafas untuk layak selepas menewaskan Porto 2-0 di Portugal.

ARTIKEL YANG SAMA