Barcelona benam juara Inggeris

Barcelona benam juara Inggeris

SOLNA, Sweden, 4 Ogos – Barcelona menewaskan juara Liga Perdana Inggeris, Leicester City 4-2 pada aksi persahabatan pra-musim di Sweden, semalam.

Bagaimanapun, skuad bimbingan Claudio Ranieri sebelum itu diberikan harapan untuk mengejutkan Barcelona menerusi aksi cemerlang dipamerkan muka baharu, Ahmed Musa pada babak kedua sebelum akur dengan kekalahan di tangan kelab gergasi Sepanyol berkenaan.

Munir El Haddadi membuka tirai jaringan buat Barcelona pada babak pertama selepas mendapat hantaran daripada Lionel Messi sebelum Luis Suarez meledak gol kedua – juga menerusi gerakan yang dihasilkan penyerang antarabangsa Argentina itu.

Munir sekali lagi membuktikan ketajaman sentuhan penyudah apabila meledak gol ketiga buat The Catalan.

Penyerang Leicester Shinji Okazaki (kanan) bersaing dengan pemain Barcelona dalam persaingan Piala Juara-Juara Antarabangsa di Friends Arena, Solna, Sweden kelmarin. – AFP
Penyerang Leicester Shinji Okazaki (kanan) bersaing dengan pemain Barcelona dalam persaingan Piala Juara-Juara Antarabangsa di Friends Arena, Solna, Sweden kelmarin. – AFP

Namun, pemain sayap Nigeria, Musa yang dibeli daripada CSKA Moscow memberi nafas baharu kepada Leicester sebaik dia dibawa masuk sebagai pemain gantian dengan melakukan gerakan solo sejauh 45 meter sebelum melepaskan rembatan untuk merapatkan jurang pada minit ke-47.

Dia kemudiannya menyempurnakan sepakan penalti yang diperoleh pada minit ke-66.

Bagaimanapun, ketika kedudukan 3-2, Barcelona memastikan trofi Piala Jemputan Antarabangsa menjadi milik mereka selepas Rafa Mujica melengkapkan kemenangan pasukan itu dengan menjaringkan gol keempat pada lewat permainan. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA