Barcelona boleh tanpa Messi

Barcelona boleh tanpa Messi

MONCHENGLADBACH, Jerman, 29 Sept – Barcelona membuktikan mereka boleh menang di Eropah tanpa Lionel Messi apabila mereka bangkit mencatat kejayaan 2-1 mengatasi Borussia Moenchengladbach dalam saingan Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Thorgan Hazard, adik kepada pemain tengah Chelsea Eden Hazard, mengejutkan Gladbach, sekali gus meletakkan mereka mendahului di babak pertama.

Namun gol pada 25 minit terakhir daripada Arda Turan dan Gerard Pique, memastikan kemenangan kedua Barcelona dalam Kumpulan C selepas menang besar 7-0 kepada Celtic di Camp Nou, dua minggu lalu.

“Mereka berusaha keras pada babak pertama tetapi secara keseluruhan saya rasa kami lebih bagus dan berhak dengan keputusan ini,” kata Pique.

Pemain sayap Gladbach, Patrick Herrmann mengakui ia adalah sukar menyekat kemaraan gergasi Sepanyol itu.

“Kami beraksi cantik untuk mendahului 1-0 tetapi Barcelona adalah pasukan yang lebih berkualiti – anda perlu kekal fokus buat keseluruhan 90 minit,” katanya.

“Jika anda tidak melakukannya, mereka bakal mengambil kesempatan. Kami mahukan kemenangan dan memenanginya di akhir, tetapi ia bukanlah keputusan yang kami mahukan.”

Dengan Messi masih dipinggirkan akibat kecederaan pinggul, jurulatih Barca, Luis Enrique meletakkan pemain Sepanyol, Paco Alcacer dalam kesebelasan utama disamping Neymar dan Luis Suarez.

Tetapi seperti yang jurulatih Gladbach Andre Schubert ramalkan pada sidang akhbar pra-perlawanan, tuan rumah enggan mengaku tergamam dengan lawan mereka yang beraksi cemerlang.

Neymar dan Suarez jarang mendapat penguasaan bola yang lama. Gladbach beraksi lebih baik pada awal pembukaan permainan di Borussia Park dan berhak mendapat pendahuluan. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA