Barcelona kental, Sporting longlai

BARCELONA, 6 Dis – Barcelona mengekalkan rekod tanpa kalah dalam peringkat Liga Juara-Juara selepas tandukan Paco Alcacer dan jaringan pada saat-saat akhir yang dihasilkan oleh Jeremy Mathieu menewaskan Sporting Lisbon 2-0 dalam perlawanan awal pagi tadi.

Gergasi Sepanyol sudah pasti menjuarai Kumpulan D, Lionel Messi berada di bangku simpanan dalam dua perlawanan Liga Juara-Juara berturut-turut. Dalam perlawanan tersebut, Ernesto Valverde melakukan lapan pertukaran dari pasukan yang bermain menentang Celta Vigo pada Sabtu lalu.

Sporting merancang untuk menewaskan Barca untuk kali pertama di laman sendiri dalam saingan Liga Juara-Juara tetapi kelab Portugal itu tampak lemah sehingga gagal untuk menewaskan gergasi Sepanyol itu.

“Mereka yang sepatutnya untuk memenangi perlawanan, tetapi mereka perlu menunggu untuk membuat pertukaran pada separuh masa kedua untuk menewaskan kami,” Valverde memberitahu BeIN Sports Sepanyol.

Barca sedaya upaya mencuba untuk merobek pertahanan Sporting namun gagal. Luiz Suarez hampir menjaringkan gol apabila melepasi pemain senegaranya Sebastian Coates tetapi gagal untuk menewaskan penjaga gol Sporting, Rui Patricio.

Penyerang Barcelona, Paco Alcacer meraikan jaringannya dalam perlawanan menentang Sporting CP, awal pagi kemarin. – AFP

Alcacer membuka jaringan pada separuh masa kedua dan berjaya menewaskan Patricio.

Walaupun berada di depan, Valverde masih memberi Messi peluang pada saat-saat akhir untuk menggantikan Aleix Vidal.

Sementara itu, Bas Dost hampir memberikan mata kepada Sporting tetapi rakan senegaranya Jasper Cillessen berjaya menggagalkan peluang dari jarak dekat itu.

Ini merupakan rekod tanpa bolos kelima dalam enam perlawanan Liga Juara-Juara dan membuktikan Barcelona memiliki pertahanan yang kental dalam pertandingan ini. – AFP