Barcelona lancar kempen sokong Messi

Barcelona lancar kempen sokong Messi

BARCELONA, Sepanyol, 10 Julai – Barcelona hari ini melancarkan kempen bagi menyokong pemain tonggak mereka Lionel Messi dan bapanya, Jorge selepas kedua-duanya dihukum penjara minggu ini kerana penipuan cukai.

Kempen itu, dengan hashtag #WeAreAllLeoMessi, meminta penyokong Barcelona meluahkan rasa simpati ke atas pemain bola sepak terhebat dunia itu dengan memberi sokongan tidak berbelah bahagi di sosial media.

Messi, 29, hanya bermain untuk Barcelona sepanjang karier kelabnya. “Kami mahu Leo mengetahui yang dia tidak keseorangan,” kata kelab berkenaan dalam satu kenyataan di laman web mereka (www.cfbarcelona.com).

“Semua ahli, penyokong kelab, peminat, atlet, media dan sesiapa saja dijemput untuk menyertainya.”

Presiden kelab Josep Maria Bartomeu menulis di laman Twitter: “Leo, mereka yang menyerang anda turut menyerang Barca dan sejarahnya. Kami akan mempertahan anda hingga akhir. Bersama selamanya!”

Mahkamah Barcelona menjatuhkan hukuman penjara 21 bulan ke atas Messi dan bapanya selepas didapati bersalah di atas tiga tuduhan penipuan cukai, walaupun dijangka mereka tidak akan menghabiskan tempoh itu di dalam penjara.

Mengikut undang-undang Sepanyol, mana-mana hukuman di bawah dua tahun untuk kesalahan jenayah tanpa keganasan, jarang memerlukan pesalah yang tidak mempunyai rekod terdahulu menjalani hukuman penjara.

Ini adalah kempen kedua untuk pemain kelahiran Argentina itu dilancarkan dalam tempoh dua minggu.

Sebelum ini rakyat Argentina merayu Messi untuk menangguhkan persaraannya dari pentas bola sepak antarabangsa – keputusan yang diambilnya selepas tewas kepada Chile pada final Copa America Centenario di Amerika Syarikat Jun lalu. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA