Barcelona sokong Messi

Barcelona sokong Messi

BARCELONA, Sepanyol, 12 Julai – Kelab bola sepak terkemuka Sepanyol, Barcelona mempertahankan tindakan mereka menyokong kempen menerusi sosial media untuk menyelamatkan bintang Argentina, Lionel Messi daripada dipenjara 21 bulan atas kesalahan melakukan penipuan cukai.

Jurucakap kelab itu, Josep Vives berkata, pihaknya mahu membuktikan kepada Messi bahawa pemain itu tidak keseorangan dalam membela nasibnya sebaliknya turut disokong ramai penyokong kelab yang simpati dengan hukuman yang dikenakan ke atasnya minggu lalu.

“Kami terlibat dalam kempen kontroversi ini kerana merasakan FC Barcelona turut perlu bertanggungjawab walaupun itu bukan isu (tipu cukai) sebenar yang menjadi tumpuan kami. Sebaliknya ia lebih kepada mempertahankan Messi daripada dilayan secara tidak adil,” katanya.

Messi dijatuhi hukuman penjara bersama bapanya oleh mahkamah Jumaat lalu kerana mengelak daripada membayar cukai membabitkan pendapatan iklan sebanyak 4.16 juta euro dari 2007 hingga 2009.

“Dengan hashtag #WeAreAllLeoMessi ketika menghantar gambar atau mesej dengan kedua-dua tangan terbuka, kempen ini menggalakkan semua peminat Barça menyatakan simpati kepada pemain bola sepak paling hebat di dunia dengan menyuarakan sokongan tanpa syarat di rangkaian sosial,” satu kenyataan di laman web kelab menjelaskan.

“Dengan #WeAreAllMessi, kami mahu Leo tahu dia tidak keseorangan. Semua anggota, penyokong kelab, peminat, atlet, media dan yang lain dijemput untuk mengambil bahagian.”

Kenyataan itu disertakan dengan mesej sokongan di Twitter dari presiden kelab Josep Maria Bartomeu: “Leo, mereka yang menyerang anda menyerang Barça dan sejarahnya. Kami akan mempertahankan anda hingga ke penghujung. Bersama selama-lamanya!”

Hukuman yang dijatuhkan terhadap Messi dan bapanya mungkin digantung kerana di Sepanyol, kesalahan pertama bukan keganasan biasanya dikenakan hukuman kurang daripada dua tahun.

Perbicaraan empat hari itu juga menyaksikan pemain terbaik dunia lima kali berusia 29 tahun itu dan bapanya masing-masing didenda 2.09 dan 1.6 juta euro.

Dua beranak itu berikrar untuk membersihkan nama mereka dengan merayu di Mahkamah Agung Sepanyol. – AFP