Baris panjang di pos kawalan

Baris panjang di pos kawalan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 7 Sept – Kesempatan pos kawalan dibuka sehingga tengah malam tidak dilepaskan oleh orang ramai sehingga menyebabkan barisan panjang kenderaan dari kawasan Jambatan Persahabatan ASEAN, Miri sehingga ke Pos Kawalan Sungai Tujoh bermula kira-kira pukul 10:00 hingga 12:00 tengah malam, kelmarin.

Barisan panjang kenderaan dilihat bermula kira-kira pukul 10:00 malam dari Miri menuju ke negara ini, di kawasan sebelum bahagian tol di Jambatan Persahabatan ASEAN, kira-kira satu kilometer sebelum pos kawalan imigresen Malaysia. Bagaimanapun, aliran trafik menuju ke Miri dalam masa yang sama adalah dalam keadaan minima.

Untuk menghabiskan baki barisan panjang tersebut, Pos Kawalan Sungai Tujoh Brunei terpaksa dibuka sehingga pukul 12:30 tengah malam, dan menurut salah seorang pegawai kanan kastam yang bertugas malam tadi, ini adalah kali pertama operasi mereka terpaksa dilanjutkan selepas jam 12:00 tengah malam sejak lanjutan jam operasi kedua-dua pos kawalan Brunei dan Malaysia berkuat kuasa awal bulan ini.

Menurut pegawai itu, jumlah keseluruhan kereta yang keluar masuk, berdasarkan daripada rekod semasa, masih belum meningkat secara mendadak sejak waktu operasi dilanjutkan.

“Apa yang kami lihat adalah, sesetengah pengguna jalan menukar waktu keluar dan masuk mereka kepada agak lebih lewat,” katanya.

Barisan panjang kenderaan dari Miri menuju masuk melalui Pos Kawalan Sungai Tujoh pada malam kelmarin.
Barisan panjang kenderaan dari Miri menuju masuk melalui Pos Kawalan Sungai Tujoh pada malam kelmarin.

Menurutnya lagi, walaupun barisan panjang pada hari Ahad, catatan jumlah kereta secara keseluruhan bukanlah yang tertinggi.

Catatan pada hari Ahad hanya sebanyak 1,500 kenderaan yang masuk berbanding sejumlah 2,600 buah pada hari Sabtu dan 2,500 pada hari Jumaat lalu.

Dengan cuti sekolah telah bermula hujung minggu lalu, keadaan lalu lintas keluar ke negeri jiran juga lebih tinggi daripada biasa, dengan lebih 8,000 buah kenderaan dalam perjalanan dari negara ini ke negeri jiran bermula hari Jumaat hingga Ahad.

Pegawai kastam itu juga memberitahu, lanjutan waktu dari 10 hingga 30 minit, telah biasa dilakukan di kawasan pos kawalan, sebelum dikuatkuasakan lanjutan waktu operasi sehingga tengah malam, ia adalah untuk menghabiskan barisan panjang pada hujung minggu dan pada waktu cuti awam.

Beberapa pemandu yang terperangkap dalam barisan panjang juga memberitahu, pada hari Jumaat dan Sabtu lalu, mereka terpaksa menunggu sehingga kira-kira lima jam baru sampai ke Miri, begitu juga dalam perjalanan dari Miri ke negara ini, barisan panjang turut dialami, lebih-lebih lagi jika waktu sudah lewat petang dan pada sebelah malam.

Sebilangan pemandu juga berpatah balik, ekoran tidak sanggup menunggu terlalu lama, terutama sekali bagi mereka yang membawa ahli keluarga termasuk anak-anak damit atau warga emas.