Barisan panjang di bank-bank India

Barisan panjang di bank-bank India

NEW DELHI, 10 Nov – Barisan panjang terbentuk di luar bank hari ini ketika mereka dibuka semula untuk kali pertama sejak keputusan mengejutkan kerajaan untuk mengeluarkan dua wang kertas dengan nilai terbesar daripada pengedaran.

Beberapa bank di ibu negara New Delhi telah menerima wang kertas 2,000 rupee baru dan beberapa ATM berfungsi sekali lagi, dua hari selepas Perdana Menteri Narendra Modi mengumumkan wang kertas 500 dan 1,000 rupee tidak lagi sah dalam satu kempen menentang pengelakan cukai dan rasuah.

Pengumuman mengejutkan Modi pada petang Selasa mendorong penggunaan mesin tunai pada lewat malam tatkala pelanggan mengeluarkan wang kertas yang lebih kecil daripada ATM sebelum mereka ditutup pada tengah malam sebagai persediaan untuk perubahan tersebut, namun berjuta-juta orang terjejas tanpa wang tunai.

“Saya hanya datang ke sini untuk memeriksa sama ada saya boleh menukar wang kertas lama saya dengan mata wang baru walaupun jika saya tidak mempunyai akaun dengan bank,” beritahu R.P. Singh, peniaga surat khabar kepada AFP di luar sebuah bank di New Delhi.

Warga India beratur di luar sebuah bank untuk mendepositkan dan menukar 500 dan 1000 rupee di Kolkata kelmarin. – AFP
Warga India beratur di luar sebuah bank untuk mendepositkan dan menukar 500 dan 1000 rupee di Kolkata kelmarin. – AFP

“Kebimbangan sebenar adalah bagaimana kami boleh mendapat bekalan harian dalam tempoh beberapa hari kerana kebanyakan orang kekurangan wang kertas kecil atau mata wang baru,” tambahnya.

Kerajaan berkata pelanggan boleh menukar wang kertas lama mereka dengan wnag kertas baru atau menyimpan mereka dalam akaun mulai hari ini. Mereka akan menghadapi pemeriksaan besar oleh pihak berkuasa percukaian jika mereka tidak dapat menjelaskan pertambahan mendadak dalam baki mereka.

Bagaimanapun, masih tidak jelas berapa banyak bank di seluruh negara – terutamanya di kawasan luar bandar – yang telah menerima wang kertas 2,000 baru itu. Wang kertas 500 dan 1,000 rupee baru akan dikeluarkan pada tarikh kemudian. Di sebuah cawangan Bank Yes di New Delhi, satu barisan yang terdiri daripada 20 orang terbentuk pada awal pagi, ramai yang menunggu sebelum pemberi pinjaman dibuka.

Laporan media tempatan menunjukkan barisan yang jauh lebih panjang di bandar lebih kecil, dengan sesetengah orang mengadu bank dan pejabat pos belum dibuka tepat pada masanya. – AFP