Barkath: kisah ketabahan dan pengorbanan

Barkath: kisah ketabahan dan pengorbanan

KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Ketabahan, pemikiran futuristik dan sikap mengutamakan pelanggan merupakan antara faktor kejayaan bagi Kumpulan Barkath, sebuah organisasi yang dibangunkan sejak zaman pra-Merdeka.

Kesusahan dan pengorbanan yang dialami oleh pengasasnya, Haji Abu Backer Mohd Hussain, dalam menjalankan perniagaan sejak 1940 dan semasa Perang Dunia Kedua, walaupun ditinggalkan rakan kongsi, telah melayakkan Barkath dinobat sebagai antara korporat Malaysia yang lahir sebelum Merdeka namun berjaya mengharungi ujian masa.

Melalui kegigihan and keputusan perniagaan yang baik, Barkath yang bermula daripada sebuah kedai runcit kecil di Union Street, Pulau Pinang, mula berkembang selepas perang global yang berlangsung 1939-1945.

Abu Backer melabur keuntungan kedai runcitnya dengan bijak dan mula menubuhkan cawangan di Butterworth, Ipoh, Johor Baharu, Kota Bharu, Kuala Lumpur dan Singapura.

Barkath Stores Ltd di Pulau Pinang menunjukkan semangat patriotiknya pada Hari Kemerdekaan, 31 Ogos 1957. – Bernama
Barkath Stores Ltd di Pulau Pinang menunjukkan semangat patriotiknya pada Hari Kemerdekaan, 31 Ogos 1957. – Bernama

Perniagaan Barkath, yang sinonim dengan dua produk terkenalnya iaitu gula-gula herbal ubat batuk ‘Hacks’ dan pekatan minuman, ‘Sunquick’ terselamat daripada ujian masa serta terus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Ketabahan dan pengorbanan turut menuntut anak sulung pengasas, Barkath Ali (kini Datuk Seri), yang terpaksa mengambil alih perniagaan pada usia muda 24 berikutan kematian bapanya pada tahun 1975.

Dalam temu bual eksklusif dengan Bernama, Pengerusi Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Barkath Ali, 65, berkata beliau boleh dengan mudah memilih jalan untuk menjadi seorang jurutera atau doktor tetapi sebaliknya mengorbankan dirinya untuk meneruskan legasi perniagaan bapanya.

Cita-cita zaman kanak-kanaknya terbantut demi meneruskan legasi dan jenama, apabila Barkath Ali dihantar ke United Kingdom untuk mendalami cara pengurusan dan sains berkaitan produk Hacks. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA