Barkley mampu setanding Gerrard, Lampard

Barkley mampu setanding Gerrard, Lampard

LONDON, 25 Sept (Reuters) – Sekiranya pemain tengah Everton Ross Barkley lebih konsisten, tidak mustahil dia mampu mencapai tahap bekas bintang England Steven Gerrard dan Frank Lampard, menurut rakan sepasukannya Gareth Barry.

Barkley menjaringkan gol penyamaan pada penampilan ke-100 buat Toffees ketika menang 2-1 ke atas Reading dalam saingan Piala Liga dan memiliki 15 cap bersama England.

Barry yakin pemain berusia 21 tahun itu mempunyai kelebihan untuk mencapai tahap bekas kapten England Gerrard dan seorang lagi juara Liga Juara-Juara Lampard.

“Ross mempunyai potensi untuk menjadi sehebat mereka,” kata Barry. “Dia mempunyai kemampuan untuk menyamai kemahiran mereka tapi satu perkara yang dia perlukan adalah konsistensi dalam aksi, jaringan gol dan sentiasa membantu jaringan.

“Itu yang dilakukan kedua-dua pemain berkenaan dalam tempoh 10 hingga 12 tahun dalam Liga Perdana Inggeris. Dan itulah matlamat Ross.

“Dia mempunyai kebolehan untuk terus berjuang dan menjadi pemain ternama,” kata bekas pemain tengah Manchester City itu. Dia masih muda, jadi masih banyak aspek perlawanan yang boleh dipelajarinya.”

Barkley hanya menjaringkan dua gol dalam 36 perlawanan musim lalu tetapi menunjukkan peningkatan musim ini dengan empat gol dalam lapan aksi bersama kelab.

ARTIKEL YANG SAMA