Barton kecewa tiada pingat

Barton kecewa tiada pingat

LONDON, 10 Mei (AFP) – Joey Barton mengalami saat memalukan semasa Burnley meraikan sambutan kejuaraan, semalam selepas arkitek tengah itu gagal dikalungkan pingat.

Barton memainkan peranan penting dalam membantu Burnley dinaikkan taraf ke Liga Perdana Inggeris dan dipilih sebagai pemain terbaik tahunan kelab terbabit.

Namun bekas tonggak Manchester City dan Newcastle United pulang dengan tangan kosong selepas menyertai rakan sepasukannya di dewan bandar Burnley untuk penyampaian rasmi trofi dan pingat.

The Clarets terpaksa menunggu untuk menerima pingat walaupun memastikan kejuaraan ketika bertandang ke Charlton, Sabtu lalu berikutan keputusan FA England untuk tidak membenarkan mereka menjulang trofi di gelanggang lawan pada akhir musim.

Skuad bimbingan Sean Dyche akhirnya dapat menggenggam pingat sebenar semalam, namun Barton dan rakan pertahanan James Tarkowski, yang muncul dua pemain terakhir diperkenalkan terlepas menerima pingat yang dimenangi mereka gara-gara kesilapan pentadbiran.

Ada dakwaan mengatakan wakil Liga Bola Sepak mahu pingat terakhir diberikan kepada penjaga gol Tom Heaton merangkap kapten pasukan, yang bakal menjulang trofi, dan atas sebab itu mereka tidak menyerahkan pingat kepada Barton.

Burnley dalam akaun laman Twitter mengaku bersalah atas kejadian itu, dengan berkata: “Kelab Bola Sepak Burnley memohon maaf di atas kejadian yang tidak diingini pada majlis penyerahan pingat.

“Liga Bola Sepak menasihatkan kelab bahawa 25 pingat akan disediakan, tetapi kelab membariskan 27 pemain.”

Ekoran insiden terbabit Barton kelihatan tidak berminat menjulang trofi dan tidak berselindung dalam meluahkan kekecewaannya menerusi laman sosial. “Tiada pingat? Apa yang sedang berlaku?” Tweet Barton.