Bas-bas Taiwan diperiksa semula

Bas-bas Taiwan diperiksa semula

TAIPEI, 20 Julai – Pihak berkuasa Taiwan mengarahkan sebahagian bas–bas jelajah tidak digunakan hari ini selepas sebuah bas terbakar dan membunuh 26 orang di dalamnya ketika persoalan mengapa pintu kecemasan dan jendela tidak dapat dibuka.

Media setempat melaporkan mayat-mayat ditemui tersusun di laluan keluar di belakang bas itu yang dipenuhi dengan pelancong dari China, yang terbakar kemudian merempuh pengadang jalan semalam dalam laluannya ke lapangan terbang utama Taipei di Taoyuan.

Penyiasat percaya kegagalan mekanikal atau elektrik berhampiran tempat duduk pemandu mungkin membawa kepada bencana itu menurut laporan.

China Times berkata siasatan awal juga menemukan pemegang pintu kecemasan mungkin terjejas akibat kepanasan daripada kebakaran di dalam bas itu.

Gambar-gambar dari tempat kejadian menunjukkan dua lelaki di luar bas itu cuba untuk memecahkan jendela dengan alat pemadam api.

Usaha mengeluarkan mangsa dari tempat nahas. – AFP
Usaha mengeluarkan mangsa dari tempat nahas. – AFP

Seorang saksi berkata pelancong-pelancong yang terperangkap di dalam bas itu memukul jendela bas ketika ia terbabas dari jalan.

Empat buah bas milik Mei Kui Shih Transportation Company yang mengendalikan bas pelancongan diarahkan keluar dari jalan, kata jabatan lebuh raya Taiwan.

Sebanyak 16 buah bas lagi dengan model yang sama, digunakan oleh syarikat pelancongan lain, akan melalui pemeriksaan wajib minggu depan, kata jabatan itu.

Pendakwa di daerah Taoyuan menyiasat pengendali bas dan agensi pelancongan malam semalam dan terus menyiasat hari ini.

Mereka memberitahu AFP mereka belum dapat menyatakan punca kemalangan itu.

“Kami akan melakukan pemeriksaan kedua di tempat kejadian dan kenderaan untuk mengenal pasti punca,” kata mereka dalam kenyataan.

Bedah siasat akan dijalankan ke atas mayat pemandu untuk memastikan keadaan kesihatannya, tambah kenyataan.

Pegawai–pegawai China dijadualkan mendarat petang ini dan penyelarasan akan dibuat bagi ahli keluarga untuk datang ke Taiwan, menurut Majlis Hal Ehwal Tanah Besar negara itu. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA