Bas bersih, dipercayai tarik pelanggan

Bas bersih, dipercayai tarik pelanggan

Oleh Azlan Othman

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Nov – Operator-operator bas awam disarankan untuk menawarkan kadar-kadar konsesi bagi warga emas, tidak mengenakan bayaran kepada kanak-kanak yang pergi ke sekolah serta memperkenalkan pas penuntut dan bermusim.

Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa bin Haji Sirat membuat saranan ini semasa membuat lawatan kerja ke Pusat Stesen Bas Bandar Seri Begawan kelmarin.

Beliau juga meminta semua pengendali bas supaya menekankan kebersihan, disiplin dan terjaga.

“Kami berharap para pengendali bas boleh menawarkan tambang bas konsesi untuk warga emas membuat perjalanan. Terdapat banyak insiden kemalangan jalan raya melibatkan mereka yang berusia 70 tahun ke atas. Kami memperkenalkan perkhidmatan bas awam dengan lantai lebih rendah bagi membantu warga emas membawa barang mereka. Idea tersebut dilaksanakan untuk memudahkan lagi perjalanan,” ujar beliau semasa ditemui media.

Untuk memudahkan lagi kecekapan perkhidmatan-perkhidmatan daripada yang sedia ada, sebanyak 14 buah bas berlantai rendah dijangka diperkenalkan dalam tempoh lapan bulan seterusnya oleh pengendali-pengendali bas seperti Setenaga daripada Koperasi Kampung Tanjung Nangka; Tasammul (koperasi dari Kampung Lumapas), ABDS dan PHLS.

Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa ketika berada di Pusat Stesen Bas BSB, kelmarin.
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa ketika berada di Pusat Stesen Bas BSB, kelmarin.
Menteri Perhubungan ketika berbincang dengan salah seorang pengendali bas.
Menteri Perhubungan ketika berbincang dengan salah seorang pengendali bas.

“Kanak-kanak juga boleh menaiki bas secara percuma, dengan ditemani oleh ibu bapa mereka, yang akan membantu menggalakkan mereka menggunakan pengangkutan awam,” tambahnya.

Menurut Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa lagi, mereka menekankan peranan penting pengendali bas dalam mempromosikan imej baik negara dan menggesa pengendali bas supaya lebih bertanggungjawab dalam memberikan gambaran betul mengenai pengangkutan awam.

“Kami menggesa para pengendali untuk mengutamakan perkhidmatan, kebersihan, disiplin dan penyampaian.

Dengan itu, kita dapat meyakinkan orang awam untuk menggunakan bas sebagai cara mudah bagi bergerak dari satu tempat ke tempat lain.

“Kami juga ingin menggalakkan orang ramai menggunakan kemudahan perkhidmatan awam dengan lebih kerap.

Bagi pemandu bas dan pengendali, kami mahu mereka menawarkan pengangkutan awam yang lebih menarik, bersih, boleh dipercayai, boleh diharapkan dan sebagainya.”

Beliau seterusnya berkata, mereka juga memperkenalkan kemudahan pas-pas bermusim dan pelajar.

“Kami berusaha untuk memperbaiki dan meningkatkan bas awam dan kami bekerja keras melaksanakannya dengan kerjasama pengendali-pengendali bas.”

Di samping itu, perhentian-perhentian bas dan sistem jalan raya juga perlu dipertingkatkan untuk memastikan perjalanan bas lebih menarik dan selesa.

Menurutnya, masih banyak kawasan yang perlukan pembangunan, yang memerlukan perancangan jangka panjang, bagaimanapun, laluan perjalanan sekurang-kurangnya telah pun dirangka.

“Kami akan bekerjasama dengan sektor swasta mengenai berapa banyak mereka boleh menyediakan sumber-sumber.

Kami mempertimbangkan idea mendapatkan bas untuk menyediakan perkhidmatan antara daerah dengan tawaran lebih baik, yang memperbaiki perkhidmatan bas di negara ini”.

Beliau juga menyarankan para pengguna jalan raya supaya tidak memenuhi kawasan-kawasan perhentian bas, yang menjejaskan pemandu-pemandu bas apabila menurunkan para penumpang.

“Ini tidak bagus dan saya merayu kepada orang ramai untuk tidak menggunakan perhentian bas sebagai tempat letak kereta,” tekan beliau.

Turut hadir dalam lawatan kerja itu ialah Pengarah Jabatan Pengangkutan Darat, Dr Haji Supry bin Haji Ladi.

ARTIKEL YANG SAMA