Bas ekspres langgar lori sampah

Bas ekspres langgar lori sampah

BINTANGOR, 13 Okt – Sembilan daripada 40 penumpang sebuah bas ekspres cedera ringan apabila kenderaan itu merempuh belakang sebuah lori sampah di Kilometer 9.6, Jalan Kelupu dekat sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Meradong, DSP Mohamad Hafipi Mohd Salim berkata penumpang yang cedera terdiri daripada tujuh lelaki dan dua wanita yang dihantar ke Hospital Sarikei untuk menerima rawatan lanjut.

Menurutnya bas tersebut sedang dalam perjalanan dari Kuching menuju Sibu, Bintulu dan Miri.

Siasatan awal mendapati lori sampah itu sedang berhenti di tepi jalan untuk menunggu tiga pekerja memunggah sampah daripada tong sampah ke dalam lori sebelum lori itu dirempuh. – Bernama