Bas pengawal presiden dibom, 11 maut

Bas pengawal presiden dibom, 11 maut

TUNIS, 25 Nov (Reuters) – Presiden Tunisia Beji Caid Essebsi mengisytiharkan darurat di seluruh negara dan perintah berkurung di ibu negara selepas serangan bom di dalam bas pengawal presiden membunuh sekurang-kurangnya 12 orang semalam.

Essebsi yang membatalkan lawatan ke Switzerland untuk Rabu, mengisytiharkan darurat di seluruh negara dan perintah berkurung di ibu negara. Sumber keselamatan dan presiden berkata, letupan itu adalah satu serangan, sambil menambah masih tidak jelas sama ada ia adalah bom atau bahan letupan yang ditembak ke arah bas ketika sedang melalui Mohamed V Avenue.

Tidak ada kumpulan yang segera mengaku bertanggungjawab terhadap pengeboman, seorang pegawai kementerian berkata serangan turut mencederakan 20 orang apabila mereka mengunjungi Mohamed V Avenue, bagi Festival Filem Carthage ke-26 tahun ini.

Polis forensik Tunisia memeriksa kawasan kejadian selepas sebuah bas yang mengangkut pengawal presiden Tunisia di pusat bandar Tunis dibom. – AFP
Polis forensik Tunisia memeriksa kawasan kejadian selepas sebuah bas yang mengangkut pengawal presiden Tunisia di pusat bandar Tunis dibom. – AFP

Ambulans dikerahkan ke tempat kejadian dan pasukan keselamatan pantas menutup kawasan kejadian. Tunisia mengalami dua serangan besar tahun ini yang menyasarkan industri pelancongannya.

Jun lalu, seorang lelaki bersenjata membunuh 38 warga asing di sebuah hotel pantai, manakala pada Mac lalu, lelaki bersenjata membunuh 21 pelancong dalam satu serangan di Muzium Bardo di Tunis.

Militan Kumpulan Negara Islam (IS) mendakwa bertanggungjawab ke atas kedua-dua serangan. Pihak tentera juga sedang menentang satu lagi kumpulan militan Islam di pergunungan berhampiran sempadan Algeria.

Kumpulan militan didakwa sering menyerang pusat pemeriksaan dan rondaan di kawasan luar bandar pada masa lalu.

ARTIKEL YANG SAMA