Bashir rancang berucap di PBB

Bashir rancang berucap di PBB

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB), 4 Ogos (Reuters) – Presiden Sudan Omar Hassan al-Bashir, yang dikenakan dakwaan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kerana jenayah perang dan genosid, merancang membuat perjalanan ke New York pada September untuk berucap di Perhimpunan Agung PBB, menurut Timbalan Duta Sudan ke badan dunia itu semalam.

Agenda sementara PBB bagi senarai Kemuncak Pembangunan Mapan menyenaraikan ketua negara Sudan dijadualkan berucap pada 26 September.

Kemuncak itu bakal meluluskan rancangan bagi pembangunan mapan dunia sepanjang tempoh 15 tahun akan datang.

Ketika ditanya jika Bashir akan menghadiri kemuncak itu, Timbalan Duta Sudan ke PBB Hassan Hamid Hassan berkata: “Ya.” Beliau tidak memberikan maklumat lanjut.

Bagaimanapun agenda sementara bagi Perhimpunan Agung PBB yang bermula 28 September, hanya menyenaraikan Sudan diwakili di peringkat menteri.

Presiden Sudan, Omar Hassan al-Bashir. – AFP
Presiden Sudan, Omar Hassan al-Bashir. – AFP

Jurucakap Kementerian Luar Sudan Ali al-Sadiq enggan mengulas.

Bashir mahu berucap pada Perhimpunan Agung PBB pada 2013, tetapi para pegawai Sudan berkata permohonan visa perjalanan ke Amerika Syarikat tidak diproses, menyebabkan beliau gagal membuat perjalanan ke AS. Washington menyifatkan permohonan visa ketika itu sebagai “amat dikesali.”

Jurucakap Jabatan Negara AS tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan ulasan berhubung rancangan Bashir untuk membuat kunjungan ke New York bulan depan.

ICC yang berpangkalan di The Hague mengeluarkan waran tangkap ke atas Bashir pada 2009 dan 2010, menuduh beliau menjadi dalang genosid dan kekejaman lain dalam kempennya untuk menghapuskan pemberontakan di wilayah barat Darfur.

ARTIKEL YANG SAMA