Bashir umum kerajaan baru, ubah 3 portfolio

Bashir umum kerajaan baru, ubah 3 portfolio

KHARTOUM, 7 Jun (Reuters) – Presiden Sudan Omar Hassan al-Bashir mengumumkan kerajaan baru dengan perubahan kepada portfolio pertahanan, hal ehwal luar negara dan minyak, menurut televisyen milik Negara semalam, beberapa hari selepas bermulanya pemerintahan penggal baru beliau.

Mohamed Zayed mengambil alih Kementerian Minyak, sementara Ibrahim Ghandour menjadi diplomat tertinggi Sudan. Leftenan Jeneral Mostafa Osman Abeed pula dilantik pemangku Menteri Pertahanan, kata televisyen milik negara.

Rombakan itu menandakan anjakan bagi Sudan, yang sudah lama bergelut dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan sekatan dua hala, termasuk dari Amerika Syarikat.

Bashir, 71, berkata minggu ini negaranya terbuka kepada dialog dengan negara-negara Barat, mesej luar biasa ingin berdamai daripada pemimpin yang berdepan dengan dakwaan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) berkaitan jenayah perang.

Bagaimanapun beliau menafikan dengan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut.

Para pemimpin pembangkang sebelum ini dilaporkan berkata pemerintahan Bashir yang berterusan semakin meluaskan lagi pengasingan Sudan daripada kewangan global dan institusi politik.

Bashir masih lagi mengekalkan asas kuasa yang kukuh dalam pasukan tentera dan kekal popular di kalangan banyak segmen populasi.

Beliau meraih n94 peratus undian dalam pilihan raya kebangsaan pada April, yang pertama sejak Sudan menyaksikan pemisahan wilayah selatannya pada 2011, tetapi ia diboikot oleh kebanyakan pembangkang.

Parti Kongres pimpinannya memenangi 323 dari sejumlah 426 kerusi Parlimen.

Rombakan pada semalam turut menyaksikan perubahan kebanyakan gabenor negeri, tetapi ia mengekalkan naib presiden pertama dan naib presiden.