Basikal Tandem dapat sambutan

Basikal Tandem dapat sambutan

Oleh Anwar Rosly

 

BELAIT, 28 Mac – Usaha membawa keunikan baru dalam memulakan sebuah perusahaan kecil menyewakan basikal ‘Tandem’ berkerusi dua dan tiga membuahkan hasil bagi seorang pengusaha setelah berkecimpung dalam perniagaan tersebut selama lebih setahun.

Perkara tersebut dilihat melalui perusahaan Syarikat MYSSN melalui pengurusnya, Awang Abdul Manan bin Haji Hamid ketika ditemui pihak Media Permata baru-baru ini di acara Garage Sale anjuran Pengurusan Pusat Insani dan Syarikat Perdasa Sdn Bhd di Dewan Pusat Insani, Seria.

“Pada masa itu saya berada di Taman Agro-Teknologi di Rimba dan melihat ramai orang muda dan tua yang berbasikal di sana, lalu mendapat idea untuk menyewakan basikal unik dengan berkerusi dua dan ada yang berkerusi tiga kepada orang ramai,” Awang Abdul Manan menceritakan di sebalik idea tersebut.

Usaha mencari jenis basikal ‘Tandem’ ini berhasil apabila beliau mengimportnya dari Negara China dengan permulaan 10 buah basikal dan kemudiannya menambah lagi kepada 40 buah sebaik mendapat sambutan orang ramai.

“Alhamdulillah maklum balas terhadap basikal Tandem ini begitu positif dan begitu popular dalam kalangan orang ramai sehinggakan ada yang ingin menyewanya dalam acara-acara persendirian dan juga sebagai aktiviti sampingan di acara-acara awam seperti DST Karnival, Brunei Consumer Fair serta acara di sekolah-sekolah,” tambahnya lagi.

Awang Abdul Manan yang mengusahakan perusahaan kecil itu bersama keluarga dan saudara-maranya.
Awang Abdul Manan yang mengusahakan perusahaan kecil itu bersama keluarga dan saudara-maranya.
Kelihatan kanak-kanak menggunakan basikal Tandem tersebut.
Kelihatan kanak-kanak menggunakan basikal Tandem tersebut.

Perusahaan ini diuruskan sendiri oleh Awang Abdul Manan bersama keluarga dan saudara-mara beliau yang menggunakan van transit untuk membawa basikal-basikal tersebut dari rumah beliau ke acara-acara di luar.

Sepanjang acara Garage Sale ini diadakan, seramai 200 orang telah menunggangnya mengelilingi kawasan Pusat Insani selama 15 minit.

“Jika di Taman Agro-Teknologi, keramaian penunggang boleh mencapai 100 lebih, yang paling banyak adalah pada hujung minggu, dan yang paling ramai sekali semasa acara Hari Keluarga,” menurut pengurus syarikat itu lagi.

Apabila ditanya mengenai pelan untuk masa hadapan, Awang Abdul Manan memberitahu bahawa beliau bercadang untuk membawa masuk basikal jenis beca atau Trickshaw yang boleh membawa penumpang dan pada masa ini beliau juga berhasrat untuk membuka sebuah kedai rasmi satu hari nanti.

ARTIKEL YANG SAMA