BASMIDA terima anugerah prestij

BASMIDA terima anugerah prestij

Oleh Azlan Othman

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Nov – Persatuan Basmi Dadah Brunei Darussalam (BASMIDA), baru-baru ini, telah menerima Anugerah Rakyat ASEAN (APA) 2015 daripada Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Dato Laila Utama Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 di Kuala Lumpur, atas usaha berterusan mereka dalam kempen anti dadah.

Mereka menerima wang tunai AS$10,000 dan sebuah trofi yang diterima Presiden BASMIDA, Datin Hajah Masni binti Haji Mohd Ali.

Mengulas mengenai anugerah berprestij itu, Datin Hajah Masni memberitahu media setempat, “Ia adalah kejutan yang manis apabila dimaklumkan mengenai anugerah berkenaan pada 27 Oktober 2015. Sepuluh penerima dari negara anggota ASEAN yang merangkumi para individu dan persatuan diberikan pengiktirafan berkenaan ke arah Komuniti ASEAN.”

Menurutnya, anugerah ini akan menjadi inspirasi kepada persatuan-persatuan belia di negara ini untuk mencapai kecemerlangan, malah ia merupakan motivasi tinggi bagi mereka untuk terus berusaha ke arah komuniti bebas dadah.

APA ialah anugerah yang diberikan kepada persatuan-persatuan, pertubuhan bukan kerajaan atau individu yang mencapai kecemerlangan dalam pembangunan komuniti, kebudayaan, kesukarelawan, bidang politik dan penambahbaikan belia dan wanita, yang mana para penerima terdiri daripada pelbagai latar belakang.

Datin Hajah Masni (tengah) dan ahli BASMIDA bergambar ramai bersama trofi dan anugerah yang diberikan.
Datin Hajah Masni (tengah) dan ahli BASMIDA bergambar ramai bersama trofi dan anugerah yang diberikan.

Dalam pada itu, BASMIDA juga telah ikut serta dalam Persidangan Sedunia IFNGO ke-26 dan bengkel NGO ASEAN IFNGO ke-22 pada 16 hingga 18 November di Putrajaya, Kuala Lumpur.

Datin Hajah Masni memberitahu, mereka akan mengadakan ceramah mengenai ‘Kenapa kita tidak patut mengambil dadah, biar kami kongsi pengalaman sedih dan benar’ bagi kira-kira 30 ‘rakan BASMIDA’ (bekas penagih dadah) untuk memotivasikan mereka, dan berkata “Jangan lihat ke belakang, lihat ke hadapan”.

Menjelaskan mengenai program-program komuniti akan datang BASMIDA yang tercatat dalam risalah anugerah APA mereka, persatuan itu menyatakan bahawa bermula Januari hingga Disember 2016 mereka antara lain merancang untuk mengadakan ceramah kepada masyarakat di Temburong di mana diketahui terdapat kes-kes berkaitan dengan dadah dan kawasan yang dipercayai menjadi laluan penyeludup dadah, yang mana acara itu dianjurkan bersama dengan ketua kampung dan Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Selain daripada itu, aktiviti yang akan diadakan termasuk lawatan ke belia dan sukarelawan BASMIDA ke Galeri Dadah Biro Kawalan Narkotik, Pusat Pemulihan Al-Islah dan Jabatan Penjara-penjara.

ARTIKEL YANG SAMA