BAT pertingkat kemahiran pelajar

BAT pertingkat kemahiran pelajar

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Jan – Mata pelajaran Perniagaan, Seni dan Teknologi (BAT) yang diperkenalkan di sekolah-sekolah menengah di Brunei kira-kira empat tahun dahulu bukan sahaja merupakan satu mata pelajaran yang menarik bagi para pelajar tetapi ia juga mampu membangunkan serta meningkatkan lagi ilmu pengetahuan dan kemahiran mereka melalui projek berasaskan aktiviti serta mampu mempersiapkan mereka untuk hidup dan bekerja dalam masyarakat berteknologi.

Di samping itu, mata pelajaran yang menggabungkan bidang-bidang pembelajaran utama dalam sains sosial, seni, budaya dan teknologi itu juga menyediakan kemahiran asas keusahawanan, teknologi dan kreativiti yang diperlukan sebagai kemahiran hidup sebelum mereka memilih bidang pendidikan khusus pada Tahun 9, 10 dan 11.

Perkara itu dinyatakan oleh Pemangku Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan, Jabatan Perkembangan Kurikulum, Hajah Badariah binti Haji Saidin ketika berucap pada Bengkel Mata Pelajaran Perniagaan, Seni dan Teknologi yang berlangsung di Dewan Utama, Bangunan Baru, Kementerian Pendidikan, hari ini.

Hajah Badariah juga berkata bahawa sepanjang pelaksanaan BAT di sekolah-sekolah, para pegawai dari Jabatan Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan terus mendapatkan pandangan dan maklum balas daripada pihak-pihak yang berkepentingan khususnya guru-guru dan para pelajar menerusi sesi perbincangan dan lawatan ke sekolah-sekolah.

Hajah Badariah ketika menyampaikan ucapan semasa bengkel tersebut.
Hajah Badariah ketika menyampaikan ucapan semasa bengkel tersebut.
Antara guru mata pelajaran BAT yang menghadiri bengkel tersebut.
Antara guru mata pelajaran BAT yang menghadiri bengkel tersebut.

Maklum balas yang diterima, jelasnya, menunjukkan perlunya untuk menyediakan tenaga pengajar berkemahiran bagi BAT yang mempunyai ilmu pedagogi sesuai dengan pelbagai jenis kebolehan dan gaya pembelajaran pelajar-pelajar.

Perkara yang penting, ulas Hajah Badariah lagi, adalah untuk membangunkan ilmu pengetahuan dan kemahiran asas mereka melalui pengalaman atau kegiatan praktikal.

Dalam hubungan itu, Bengkel BAT yang pertama bagi 2016 memberikan peluang kepada para peserta untuk mengongsi amalan-amalan terbaik dalam kaedah pengajaran yang memberikan tumpuan kepada kemahiran abad ke-21 terutamanya kepada cara pemikiran, menyelesaikan masalah, keusahawanan, rekaan artistik serta kemahiran praktikal dan kemahiran ICT.

Hajah Badariah menyatakan harapan agar para peserta bengkel itu akan mendapat maklumat dan ilmu pengetahuan berguna sebagai garis panduan mereka untuk membantu dalam mengajar mata pelajaran berkenaan.

Beliau juga menyatakan harapan supaya para guru akan terus membuka minda mereka untuk menerima idea-idea baru serta bersedia untuk menerima perubahan dan membuat penyelarasan dari semasa ke semasa sesuai dengan perkembangan teknik penilaian dan pengajaran yang baru.

Bengkel Mata Pelajaran BAT selama tiga hari itu dianjurkan oleh Jabatan Perkembangan Kurikulum bagi guru-guru dari 50 buah sekolah menengah kerajaan dan swasta termasuk sekolah Arab yang mengajar mata pelajaran berkenaan bagi Tahun 7 dan 8 seluruh negara.

Bengkel yang dikendalikan oleh pegawai-pegawai dari Jabatan Perkembangan Kurikulum itu dihasratkan untuk menambahkan ilmu pengetahuan para guru bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran BAT dapat dilaksanakan secara lancar.

Sesi bengkel itu dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu kumpulan pertama seramai 25 orang guru yang menyertai bengkel pada 20, 21 dan 23 Januari, manakala kumpulan kedua seramai 25 guru pula akan menyertai bengkel pada 3, 4 dan 6 Februari.

Bengkel itu akan mendedahkan guru-guru kepada penggunaan pedagogi IT terkini seperti menyediakan pelan mengajar menggunakan Whole School ICT Development (WSID) dan proses rekaan dalam pengajaran serta pembelajaran.

Bengkel itu juga akan memberikan pengetahuan kepada guru-guru mengenai penggunaan rubrik untuk meneliti portfolio dan projek pelajar.

Di akhir bengkel itu, para guru-guru diharap akan mengongsi ilmu pengetahuan, maklumat dan kemahiran yang dipelajari sepanjang bengkel itu dengan guru-guru lain di sekolah masing-masing, meneroka lagi pengajaran dan pembelajaran berasaskan projek serta mempunyai sifat dan cara berfikir yang positif.

ARTIKEL YANG SAMA