Bateri litium punca kebakaran pesawat?

Bateri litium punca kebakaran pesawat?

LONDON, 20 Ogos – Pihak berkuasa penerbangan awam British semalam menggesa bagi kajian semula penggunaan bateri litium dalam pesawat komersial, sambil berkata ia dipercayai menjadi punca kepada kebakaran pada 2013 ke atas pesawat Penerbangan Habsyah di Lapangan Terbang Heathrow di London.

Menurut laporan yang diterbitkan oleh Cawangan Penyiasatan Nahas Udara (AAIB), “pelepasan tenaga yang tidak terkawal daripada bateri litium” dalam Emergency Locator Transmitter (ELT) pesawat kemungkinan besar bertanggungjawab bagi kebakaran di atas pesawat Boeing 787 ketika ia di parkir di Heathrow pada 12 Julai 2013.

AAIB berkata litar pintas kelihatannya menyebabkan bateri litium terbakar.

Agensi tersebut menggesa pihak berkuasa penerbangan awam di Eropah, Amerika Syarikat dan Kanada supaya “meminta pengeluar peralatan yang berhasrat menggunakan bateri litium dalam pesawat supaya memastikan ia bersesuaian dengan keadaan di dalam pesawat.”

Walaupun kebakaran meletus dalam pesawat ketika tiada penumpang, namun keadaan akan menjadi lebih berbahaya jika ketika kejadian pesawat membawa penumpang.

Insiden kebakaran tersebut menyebabkan penutupan lapangan terbang Heathrow selama 90 minit, dan meningkatkan keprihatinan mengenai bateri di dalam pesawat Boeing 787 Dreamliners.

Sebelum ini, bateri litium Dreamliners didapati menjadi punca kepada kebakaran di atas pesawat berkenaan. – AFP