Bateri vape terbakar dalam penerbangan

Bateri vape terbakar dalam penerbangan

PUTRAJAYA, 25 Okt (Bernama) – Penumpang dan krew penerbangan Malindo Air cemas seketika selepas bateri vape atau rokok elektronik milik seorang penumpang terbakar secara tiba-tiba.

Kejadian pada kira-kira 6:45 petang semalam itu berlaku selepas pesawat jenis Boeing 737-800 terbabit berlepas dari Kota Kinabalu ke KLIA2.

Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Abdul Aziz Ali berkata kebakaran tersebut berlaku semasa penumpang berkenaan sedang menonton tayangan video di paparan skrin di tempat duduknya.

“Ketika leka menonton secara tiba-tiba bateri vape dalam beg yang berada atas peha lelaki itu terbakar.

“Kebakaran kecil itu menyebabkan beliau mengalami kecederaan ringan di peha dan lengan kiri, namun telah diberikan rawatan segera oleh seorang penumpang lain yang kebetulan seorang doktor,” katanya ketika dihubungi.

Abdul Aziz berkata tindakan pantas anak kapal berjaya mengawal kebakaran dan pesawat selamat mendarat di KLIA2 pada 8:44 malam.

Beliau berkata lelaki tersebut kemudian membuat laporan polis sejurus mendarat. Namun tiada aduan diterima daripada pihak Malindo Air sehingga kini berhubung kejadian itu.