Batistuta berdebar tunggu rekod gol Messi

Batistuta berdebar tunggu rekod gol Messi

BUENOS AIRES, 3 Mei (AFP) – Penjaring sepanjang zaman Argentina, Gabriel Batistuta menggambarkan pemain yang menghampiri rekodnya, Lionel Messi sebagai ‘makhluk asing’.

“Apabila Leo mengambil rekod itu saya mungkin ada sedikit rasa kecewa. Apapun, ia diambil oleh bukan sebarangan orang.

“Makhluk asing mengambilnya daripada saya dan ia melegakan saya,” kata Batistuta.

Penyerang berusia 47 tahun itu menjaringkan 54 gol buat Argentina dari tahun 1991 hingga 2002, tidak termasuk dua jaringannya ketika menentang Slovakia pada 1995 yang diambilkira FIFA sebagai tidak rasmi untuk simpanan rekod.

Messi ketika ini menjaringkan 50 gol buat pasukan kebangsaannya dan bintang Barcelona berusia 28 tahun itu pada bulan lalu merekodkan gol ke-500 dalam kariernya.

Dalam pada itu, Batistuta turut mempertahankan Pemain Terbaik Dunia lima kali itu selepas berdepan kritikan di Argentina kerana gagal membantu negara itu meraih gelaran Piala Dunia buat pertama kalinya sejak 1986.

“Dia bermain 70 perlawanan setahun. Dia masih dahaga (kemenangan) dan biarpun dia sudah memenangi 200 perkara, dia tetap berada di sini (skuad kebangsaan). Messi adalah pemenang sejati,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA