Batu Kawan tersenarai FAB 50 Forbes Asia 2016

Batu Kawan tersenarai FAB 50 Forbes Asia 2016

SINGAPURA, 25 Ogos – Batu Kawan Bhd menjadi syarikat tunggal dari Malaysia yang termasuk dalam senarai 50 Terbaik (Fab 50) majalah Forbes Asia tahun ini.

Batu Kawan adalah syarikat pegangan pelaburan dengan anak syarikat dan sekutunya terlibat dalam pengeluaran kimia, pengangkutan, pelaburan hartanah, pegangan pelaburan serta perladangan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Forbes Media berkata, Fab 50 dipilih daripada 1,524 syarikat awam di rantau ini dengan pendapatan tahunan sekurang-kurangnya AS$1.7 bilion (AS$1=RM4.03).

Untuk sembilan bulan berakhir 30 Jun 2016, Batu Kawan sudah pun mencatat pendapatan kira-kira AS$3.05 bilion.

Forbes Media berkata, syarikat terlibat dianalisis menggunakan lebih sedozen langkah kewangan dan senarai itu mengetepikan syarikat yang mempunyai nisbah hutang lebih 50 peratus atau di mana kerajaan memiliki sekurang-kurangnya separuh daripada sahamnya.

Keputusannya ialah syarikat yang terbaik di rantau ini, tambahnya.

Forbes Media juga berkata, senarai itu adalah penghormatan tahunan yang menonjolkan sebahagian bintang paling cerah di rantau Asia Pasifik.

Tahun ini menandakan edisi ke-12 senarai Fab 50 dan 272 syarikat yang tersenarai di dalamnya sekurang-kurangnya sekali, mencerminkan perubahan keadaan perniagaan di rantau Asia Pasifik.

Senarai penuh boleh didapati di www.forbes.com/fab50 serta isu terbaru Forbes Asia yang berada di pasaran sekarang. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA