Bawa pemain bertaraf dunia ke Brunei

Bawa pemain bertaraf dunia ke Brunei

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Okt – Kedutaan Jepun di Brunei Darussalam dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) akan membawa pemain-pemain badminton bertaraf dunia ke Brunei Darussalam akhir bulan ini bagi Pertukaran Badminton Brunei-Jepun

Setiausaha Pertama Kedutaan Jepun di Brunei Darussalam, Yuki Iida memberitahu bahawa acara yang dianjurkan bersama Kedutaan Jepun dan KKBS itu diadakan bagi memperingati Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-70.

Menjelaskan lanjut semasa sidang media di Dewan Kuliah, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, petang tadi, beliau berkata, pertukaran sukan yang akan diadakan pada 24 hingga 27 Oktober ini adalah sebagai salah satu inisiatif ‘Sukan untuk Esok’, Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe.

Inisiatif berkenaan akan mempromosi sukan kepada lebih 10 juta orang di lebih 100 buah negara sehingga tahun 2020 apabila Jepun akan menjadi tuan rumah Olimpik dan Paralimpik di Tokyo.

“Acara ini juga ditaja sepenuhnya oleh Jepun dengan tujuan bagi memperkukuhkan lagi hubungan erat kedua-dua buah negara, keamanan negara dan mempersembahkan sukan yang begitu diminati ramai di negara ini,” tambah beliau.

Yuki Iida ketika menjelaskan mengenai Program Pertukaran Badminton Brunei-Jepun.
Yuki Iida ketika menjelaskan mengenai Program Pertukaran Badminton Brunei-Jepun.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan, Haji Jafri bin Haji Mohamed pula menjelaskan, atlet peringkat kebangsaan tertinggi Jepun dalam sukan badminton termasuk Sho Sasaki (ranking 24 dunia bagi pemain perseorangan) yang mengambil bahagian semasa Olimpik Rio dan London akan berkunjung ke Brunei.

Brunei Darussalam dan Jepun mempunyai kerjasama baik dalam pertukaran sukan melalui program pertukaran JENESYS.

Dengan adanya acara ini, orang ramai berpeluang untuk menyaksikan perlawanan persahabatan di antara pemain Negara Brunei Darussalam dan Jepun pada tarikh itu nanti dan kemasukan adalah percuma.

Pemain Brunei Darussalam akan diwakili oleh Awang Masrur, Dayang Marinah, Awang Shahrul, Awang Ahmad, Mattew, Dayang Nurhayati dan pemain wakil Olimpik Rio 2016 Jaspar. Pemain Jepun pula diwakili oleh Yu Igarashi, Kenya Mitsuhashi, Miki Kashihara dan Miyuki Kato.

ARTIKEL YANG SAMA