Bawa pulang Citroen DS3

Bawa pulang Citroen DS3

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Ogos – Pengantin baru, Dayang Nur Imanina binti Sazali ternyata tidak menyangka rezeki menyebelahinya dalam cabutan akhir Promosi Beli dan Menang Citroen, anjuran Grand Motors Sdn Bhd setelah beliau berjaya menekan punat kunci sebenar kereta Citroen, menewaskan tiga lagi peserta lain yang terpilih untuk mencuba nasib dalam cabutan itu.

Beliau yang merupakan kakitangan sumber manusia sebuah syarikat swasta dan baru melangsungkan perkahwinan baru-baru ini, gembira memenangi sebuah kereta Citroen DS3 selepas membeli Citroen DS5 dalam promosi sebelum ini.

“Saya dan keluarga sememangnya meminati DS5 kerana ia mempunyai pelbagai fungsi moden termasuk kerusi urut dan reka bentuk elegan, membuatkan kami terpikat dengan rekaannya,” katanya.

Selain Dayang Nur Imanina, Awang Saiful Hamri bin Ismail turut bertuah apabila berjaya memenangi kereta Citroen C3 hanya dengan hanya melakukan uji pandu semasa Promosi Uji Pandu dan Menang.

Bapa mertuanya, Abdul Rahman yang mewakili beliau untuk menerima hadiah, berkata, hari ini merupakan hari bertuah buat menantunya kerana memenangi sebuah kereta. Menurutnya, menantunya kini sedang bertugas dan hanya akan mengetahui hadiah besar beliau itu selepas balik nanti.

Wakil pihak pengurusan Bank Baiduri menyerahkan replika kunci kepada Dayang Nur Imanina yang memenangi sebuah kereta Citroen DS3.
Wakil pihak pengurusan Bank Baiduri menyerahkan replika kunci kepada Dayang Nur Imanina yang memenangi sebuah kereta Citroen DS3.
Sesi bergambar ramai bersama para pemenang.
Sesi bergambar ramai bersama para pemenang.

Manakala pemilik Instagram @conskyo juga bertuah apabila memenangi iPad Mini 4 64GB dalam peraduan selfie Beli dan Menang dan Uji Pandu dan Menang.

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Pengarah Eksekutif Grand Motors Sdn Bhd, Pengiran Haji Abdul Qahar bin Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Ba’asith, Pengurus Jualan Citroen, Zen Thea bersama perwakilan-perwakilan bank yang berlangsung di Bilik Pameran Citroen di Beribi.

Menurut Pengurus Pemasaran Grand Motors, Precious Casao, kedua-dua promosi tersebut yang bermula pada 7 Disember 2015 sehingga 31 Julai 2016 bertujuan mempamerkan kehebatan kereta-kereta model Citroen di samping meningkatkan lagi jualan kereta Perancis ini.

Orang ramai juga dialu-alukan untuk melihat dan merasakan sendiri kehebatan Citroen dengan mengunjungi Bilik Pameran Citroen di Beribi.

ARTIKEL YANG SAMA