Bawa trofi dari seberang

Bawa trofi dari seberang

Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Dis – Awang Faisal bin Haji Mohammad mengepalai kejayaan gemilang mengharumkan nama Negara Brunei Darussalam di persada sukan bina badan apabila merangkul gelaran Mr Fitness Belia 2015 di Miri, Sarawak, Malaysia dalam kategori Bawah 170 sentimeter (B-170sm).

Dua lagi rakannya iaitu Awang Hazman Johari dan Awang Suffrel Azril Suffian turut menjulang nama Brunei Darussalam apabila masing-masing meraih naib juara dan tempat kelima dalam kategori yang sama.

Bukan itu saja, dua orang lagi rakan mereka yang bertanding dalam Kategori Atas-170sm (A-170sm) turut berjaya berada dalam kedudukan 5-Terbaik iaitu Awang Mohd Rahemi Abdul Manaf yang memenangi tempat ketiga dan Awang Rahim Talip yang menduduki tempat keempat.

Faisal, 40, dalam temu bual bersama Media Permata menceritakan bahawa beliau baru berkecimpung dalam sukan bina badan pada 2013 atau lebih tepatnya beliau baru masuk menyertai latihan di Ironman Gym, Tumasek milik atlet bina badan veteran Brunei Darussalam, Pengiran Zaman bin Pengiran Haji Apong pada bulan Januari 2013.

Awang Faisal ketika menerima piala kejuaraan Mr Fitness Belia 2015 kategori B-170sm daripada tetamu kehormat.
Awang Faisal ketika menerima piala kejuaraan Mr Fitness Belia 2015 kategori B-170sm daripada tetamu kehormat.
Awang Faisal bersama piala dan wang tunai RM800 yang dimenanginya selaku juara Kategori B-170sm Mr Fitness Belia 2015.
Awang Faisal bersama piala dan wang tunai RM800 yang dimenanginya selaku juara Kategori B-170sm Mr Fitness Belia 2015.

Mr Fitness Belia 2015 merupakan pertandingan bina badan kedua yang disertainya di luar negara, kongsinya sambil menambah kata bahawa dalam pertandingan pertama luar negara yang disertainya iaitu Beach Body Competition di Miri pada 29 November 2015, beliau memenangi tempat ketiga.

Faisal menceritakan bahawa beliau mula giat menyertai pertandingan bina badan dalam negara sejak 2013 dan pencapaian terbaiknya adalah naib juara, maka muncul juara di luar negara dalam Mr Fitness Belia 2015 pada 19 Disember yang lalu menjadi sejarah pencapaian terbaiknya dalam keseluruhan penyertaannya setakat ini.

Kejayaan itu mendorongnya untuk bergiat lebih aktif lagi dalam sukan bina badan demi mencipta lebih banyak kejuaraan lagi di masa akan dating dan beliau sudah merancang untuk menyertai lebih banyak pertandingan peringkat serantau di Wilayah Persekutuan Labuan, Limbang dan Miri tahun depan.

Dua lagi tempat 5-Terbaik dalam Kategori B-170sm dipenuhi atlet bina badan Sarawak iaitu Yussle Mohamad dari Miri di tempat ketiga dan Rashidi Cassady Abdullah dari Limbang di tempat keempat.

Manakala dalam Kategori A-170sm, anak kelahiran Miri, Mohd Alrzrin Abdul Ghani merangkul kejuaraan, dengan dua lagi rakannya iaitu Mohd Shahrul Din dan Namo Ray masing-masing muncul naib juara dan memenangi tempat kelima.