Bayar 5 juta rupiah, PATI berjaya masuki negara

Bayar 5 juta rupiah, PATI berjaya masuki negara

KUALA NERUS, 11 Jan (Bernama) – Hanya dengan membayar lima juta rupiah (RM1,575) kepada tekong bot, seorang wanita pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya memasuki perairan negara untuk mencari pekerjaan.

Suriyati Suparman, 35 dari Surabaya, Indonesia berkata walaupun terpaksa menanggung risiko ditangkap pihak berkuasa, beliau tetap memperjudikan nasibnya demi menyara dua anaknya yang masih bersekolah.

“Saya datang ke sini dua tahun lalu dengan menaiki bot dan saya bayar lima juta rupiah kepada tekong sebab nak cari kerja di sini, mereka (tekong) kata kerja di sini gajinya lumayan…sebab itu saya datang sini.

“Saya tahu cara saya salah, tapi saya dah bercerai dengan suami, anak pula semakin besar. Jadi, saya terpaksa datang ke sini untuk mencari nafkah untuk menanggung anak yang berumur tujuh dan 16 tahun yang kini dijaga nenek mereka,” katanya.

Suriyati ditemui pemberita selepas ditahan dalam operasi yang dijalankan Jabatan Imigresen Terengganu di sini malam tadi.

Suriyati berkata beliau yang bekerja sebagai tukang masak memperoleh pendapatan sekitar RM1,000 sebulan dan gajinya dikirim kepada dua anaknya setiap hujung bulan.

Sementara itu, Ketua Bahagian Penguat kuasa Jabatan Imigresen Terengganu, Ahmad Salihin Salleh berkata seramai 218 PATI diperiksa dalam operasi yang dijalankan selama enam jam di lima rumah kongsi tapak pembinaan di sekitar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.

“Daripada jumlah itu, seramai 92 PATI yang berumur antara 17 dan 50 tahun ditahan. Mereka terdiri daripada 40 warga Bangladesh, Myanmar (35), Indonesia (14), Pakistan (dua) dan seorang dari Vietnam.