Bayar $500, wanita terlepas hukuman penjara

Bayar $500, wanita terlepas hukuman penjara

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_151216_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Dis – Seorang wanita Malaysia terlepas daripada menjalani penjara selama seminggu selepas dia membayar denda $500 yang dijatuhi Mahkamah Majistret, hari ini, atas kesalahan memiliki minuman keras dan rokok yang tidak diisytiharkan pada 2012.

Soon Chan Kim, 49, mengaku bersalah di hadapan Majistret Pengiran Shahyzul Khairuddien bin Pengiran Haji Abdul Rahman atas dakwaan memiliki 12 tin minuman keras, dua botol arak dan sembilan paket rokok pada 30 Mac 2012.

Fakta kes menyebut, defendan ketika itu hanya mengisytiharkan 12 tin minuman keras kepada pegawai kastam bertugas di Pos Kawalan Kuala Lurah namun pemeriksaan mendapati terdapat minuman keras, botol arak dan rokok disembunyikan dalam bahagian tayar ganti, tempat letak kaki dan di bahagian konsol penumpang depan.

Defendan mengaku minuman keras dan rokok yang dibelinya di Limbang itu miliknya.

Cukai bagi rokok yang seharusnya dibayar defendan ialah $45 manakala cukai bagi minuman keras ialah $14.

Dalam bilik mahkamah yang sama, seorang lelaki tempatan dikenakan denda $15,000 atas kesalahan memiliki rokok seludup.

Mohammad Asnawi Arifin bin Haji Mohammad Affendi, 20, diarahkan untuk membayar $1,250 setiap bulan, bermula hujung Disember ini sehingga 28 November 2016 atau berdepan dua bulan penjara jika gagal.

Defendan didakwa memiliki 55 paket dan 50 karton rokok di rumahnya di Perpindahan Lambak Kanan pada 2 Mei 2015 kira-kira jam 11 malam.

Defendan mengaku membeli kesemua rokok itu di Brunei pada harga $380 untuk dijual kepada rakan-rakannya sebagai pendapatan sampingan.

Cukai untuk rokok-rokok itu ialah $5,459.

Majistret Pengiran Shahyzul mengarahkan kesemua rokok yang dirampas itu diserahkan kepada kerajaan.

ARTIKEL YANG SAMA