Bayaran besar menanti Guardiola jika sertai Chelsea

Bayaran besar menanti Guardiola jika sertai Chelsea

LONDON, 22 Dis (Agensi) – Chelsea mungkin terpaksa menyandarkan harapan kepada isteri Pep Guardiola untuk mempengaruhi keputusan pengendali Bayern Munich itu.

Gaya hidup mewah di London akan menjadi kunci utama ketika mereka melakukan persiapan untuk menawarkan kontrak lumayan bagi mendapatkan khidmat Guardiola sebagai pengurus The Blues, sekali gus mengatasi tawaran dibuat Manchester City.

Pemilik Chelsea, Roman Abramovich belum berputus asa untuk membawa masuk Guardiola ke Stamford Bridge biarpun pernah dikecewakan pengendali dari Sepanyol itu apabila dia menolak kontrak yang ditawarkan pada 2012.

City dilihat sebagai pilihan utama untuk mendapat sentuhan Guardiola tetapi Abramovich yang juga jutawan dari Russia sanggup menjadikan dia sebagai pengurus yang dibayar gaji paling tinggi di dunia.

Pemilik kelab Chelsea Roman Abramovich berhasrat untuk mendapatkan khidmat Pep Guardiola buat The Blues. – Reuters
Pemilik kelab Chelsea Roman Abramovich berhasrat untuk mendapatkan khidmat Pep Guardiola buat The Blues. – Reuters

Malah, dia juga sanggup untuk mengeluarkan perbelanjaan besar bagi melakukan rombakan dalam barisan pemain Chelsea.

Bagaimanapun, Chelsea sedar wang belum boleh menjamin kedatangan Guardiola ke London tetapi mereka percaya isteri pengendali itu, Cristina Serra berminat untuk menjalani kehidupan di kota mewah itu.

Chelsea membayar gaji Mourinho sebanyak 250,000 pound seminggu (12 juta pound setahun) sebelum dia dipecat, Khamis lalu dan Guardiola akan menerima bayaran lebih lumayan berbanding dari Portugal itu.