Bayaran guna beg plastik dapat kurangkan penggunaannya

Bayaran guna beg plastik dapat kurangkan penggunaannya

LONDON, 31 Julai – Kurang enam bilion beg plastik akan dibawa pulang oleh pembeli-belah di England pada tahun ini sejak bayaran mandatori sebanyak lima pence (AS$0.70 sen) diperkenalkan pada Oktober lalu.

Data awal yang dikeluarkan semalam oleh Jabatan Alam Sekitar, Perladangan dan Hal Ehwal Luar Bandar (Defra) mendedahkan surcaj beg juga akan membawa kepada hampir 39 juta dolar AS disumbang kepada kerja amal pada 2016 di England. Wang tersebut akan disalurkan kepada badan kebajikan dan kumpulan komuniti.

“Kira-kira lapan juta tan plastik dibuang ke lautan setiap tahun, sekali gus menimbulkan ancaman serius kepada alam sekitar semula jadi dan laut, dengan pakar menganggarkan plastik dimakan oleh 31 spesies mamalia laut dan lebih 100 spesies burung laut,” kata seorang jurucakap Defra.

Menteri Alam Sekitar Therese Coffey berkata semalam: “Mengeluarkan enam bilion beg plastik daripada alam sekitar merupakan berita hebat untuk kami semua. Ia akan bermakna kehidupan laut kami adalah lebih selamat, komuniti kami lebih bersih dan generasi masa depan tidak akan dibebani dengan timbunan plastik yang mengambil masa beratus-ratus tahun untuk diuraikan ditapak membuang sampah.”

“Bayaran lima pence jelasnya mencatat kejayaan besar bukan sahaja kepada alam sekitar kami tetapi untuk kerja-kerja amal di seluruh negara. Ia menunjukkan tindakan kecil boleh membawa kepada perbezaan besar, namun kami tidak boleh bersikap mudah berpuas hati kerana terdapat lebih banyak yang masih kami boleh lakukan untuk mengurangkan bahan buangan dan mengitar semula apa yang kami gunakan.”

Pada 2014, tujuh peruncit utama di England memberi 7.6 bilion beg plastik percuma kepada pelanggan. Ia merosot kepada setengah bilion dalam enam bulan pertama bayaran lima pence dikenakan untuk satu beg yang diperkenalkan pada Oktober 2015.

Dr Sue Kinsey, pakar teknikal di tempat pembuangan di Persatuan Pemuliharaan Laut berkata: “Kami gembira melihat bayaran beg yang diperkenalkan di England menunjukkan keputusan positif. Ia merupakan satu pengurangan besar yang akan memberi faedah kepada alam sekitar pada keseluruhannya, dan kehidupan laut kami terutamanya.” – Xinhua