Bayer cari tonik Eropah

Bayer cari tonik Eropah

BERLIN, 15 Sept (AFP) – Bayer Leverkusen sedang mencari penawar Eropah untuk masalah domestik mereka apabila memulakan kempen Liga Juara-Juara di laman sendiri melayan BATE Borisov dari Belarus, esok.

Leverkusen mempunyai rekod kuat pada peringkat kumpulan Liga Juara-Juara dan, dengan juara bertahan Barcelona juga dalam Kumpulan E, mereka tahu bermula dengan tiga mata di BayArena amat penting walaupun menentang pasukan kerdil.

Bayer berjaya mara ke peringkat 16 terakhir pertandingan itu sejak dua musim lalu dan layak menyertai kempen Eropah ketiga berturut-turut dengan memenangi play-off.

Walaupun menewaskan Lazio dalam dua pusingan untuk menempah tempat pada peringkat kumpulan, Leverkusen juga bergelut mencari rentak di Bundesliga apabila hanya menang dua dan kalah dua termasuk tewas mengejut 1-0 di laman sendiri kepada pasukan baru Darmstadt 98, Sabtu lalu. Kekalahan itu mencampakkan mereka ke tangga ke-13 Bundesliga manakala BATE pula berada di puncak liga domestik.

Finalis 2002 itu mendapat suntikan baru dengan ketibaan Javier Hernandez – disambar dari Manchester United yang mereka tewaskan pada separuh akhir 2002 – selepas menjual penyerang Korea Selatan Son Heung-Min ke Tottenham Hotspur.

Pasukan Bayer Leverkusen jelas kecewa meninggalkan padang selepas tewas kepada Darmstadt 98 dalam aksi Bundesliga, 12 September lalu. – Reuters
Pasukan Bayer Leverkusen jelas kecewa meninggalkan padang selepas tewas kepada Darmstadt 98 dalam aksi Bundesliga, 12 September lalu. – Reuters

Penyerang Mexico itu membuat penampilan pertama pada babak kedua semasa tewas kepada Darmstadt tetapi meninggalkan padang dengan rasa tidak berpuas hati. “Saya gembira membuat penampilan pertama tetapi tidak gembira dengan keputusan ini,” akui Hernandez.

Leverkusen bakal beraksi tanpa pertahanan Jerman Roberto Hilbert selepas bek kanan itu cedera lutut semasa menentang Darmstadt.

BATE mungkin pasukan kerdil Eropah tetapi cukup mantap pada 2015 apabila hanya tewas tiga kali dalam 33 perlawanan, manakala penjaga gol mereka, Sergei Chernik mengharungi 14 permainan tanpa bolos dalam 18 aksi liga. Mereka juga lapan mata di puncak liga selepas 19 perlawanan.

BATE berjaya mengharungi tiga pusingan kelayakan untuk mara ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara dengan menewaskan Dundalk FC dari Ireland, Videoton dari Hungary dan Partizan Belgrade dari Serbia.

Pasukan Aleksandr Yermakovich menang semua tiga perlawanan di laman sendiri tetapi masih memburu kemenangan di gelanggang lawan.

ARTIKEL YANG SAMA