Bayer putih mata

Bayer putih mata

LEVERKUSEN, Jerman, 10 Dis – Bayer Leverkusen tersingkir daripada Liga Juara–Juara semalam biarpun berjaya mengekang Barcelona yang diketuai oleh penjaring utama Lionel Messi dalam keputusan seri 1-1.

Bintang dari Argentina itu membolehkan Barca mendahului di Bay Arena dengan jaringan awal tetapi dibatalkan oleh jaringan minit ke-14 penyerang Leverkusen, Javier Hernandez.

Dengan Roma seri 0-0 di laman sendiri menentang BATE Borisov, Leverkusen terpaksa menewaskan Barcelona untuk mara tetapi pasukan dari Jerman itu sebaliknya mendapati pasukan mereka jatuh ke dalam persaingan Liga Europa Februari depan.

“Saya tidak percaya kami tidak menang. Saya merasa kecewa dan fakta bahawa Roma tidak menewaskan BATE yang menjadikannya satu tragedi,” kata jurulatih Leverkusen, Roger Schmidt. “Kami memiliki peluang, Cuma kami hanya tidak menggunakannya.”

Pasukan dari Sepanyol itu mara ke peringkat kalah mati, bagi tahun ke-12 berturut–turut, sebagai pemenang Kumpulan E di depan Roma.

Messi meraikan jaringan ketika menentang Bayer Leverkusen dalam aksi Liga Juara-Juara Kumpulan E di Leverkusen semalam. – Reuters
Messi meraikan jaringan ketika menentang Bayer Leverkusen dalam aksi Liga Juara-Juara Kumpulan E di Leverkusen semalam. – Reuters

Jurulatih Barcelona, Luis Enrique menurunkan hanya empat pemain daripada pasukan yang menewaskan Juventus 3-1 dalam aksi final musim lalu di Berlin – penjaga gol Marc-Andre ter Stegen, Ivan Rakitic, Jordi Alba dan kapten pasukan, Messi.

Pemain remaja dari Cameroon, Wilfrid Kaptoum membuat kemunculan Liga Juara-Juara dan midfield, Sergi Samper hanya membuat kemunculan ketiganya pada peringkat ini dalam pasukan percubaan.

Pemain pilihan pertama, pemain antarabangsa Sepanyol, Andres Iniesta dan Gerard Pique ditinggalkan di Barcelona sementara Dani Alves pula digantung perlawanan.

Bintang Brazil, Neymar mengalami kecederaan selangkang dalam latihan Selasa lalu dan Luis Suarez pula berada di bangku simpanan.

Pemilihan pasukan difahami ketika Barcelona mempunyai musim yang sibuk dengan pasukan Catalan itu beraksi dalam separuh akhir Piala Dunia Kelab di Jepun 17 Disember ini. – AFP