Bayern azam untuk bangkit

Bayern azam untuk bangkit

BERLIN, 11 Dis (AFP) – Bayern Munich akan menjadi tuan rumah kepada Ingolstadt dalam saingan tetangga pertama Bundesliga antara kedua-dua kelab esok dengan perasaan penuh hormat terhadap jiran mereka di Bavaria.

Namun penyandang juara ini berazam untuk kembali bangkit selepas kekalahan mengejutkan di tangan Moenchengladbach.

Skuad kendalian Pep Guardiola itu tewas buat kali pertama dalam liga Jerman musim ini, Sabtu lalu apabila dimalukan 3-1 oleh pasukan tangga ketiga, Gladbach.

Ia adalah kekalahan kedua Bayern musim ini selepas tewas dalam Liga Juara-Juara di tangan Arsenal, dan Bayern berazam untuk mempertahankan kelebihan lima mata dimiliki mereka di persada liga.

“Kami perlu bermain baik dan bertarung untuk semuanya, ia bukanlah perlawanan yang mudah,” kata Robert Lewandowski, dengan jaringannya mengesahkan kemenangan 2-0 di Dinamo Zagreb awal pagi Khamis lalu dengan Bayern kini berada dalam kelompok 16 pasukan terakhir Eropah.

Pemain Bayern, Lewandowski menyaksikan bola rembatan David Alaba menerjah jaring semasa menentang Schalke 04 dalam aksi Bundesliga di Veltins Arena, Gelsenkirchen pada 21 November lalu. – Reuters
Pemain Bayern, Lewandowski menyaksikan bola rembatan David Alaba menerjah jaring semasa menentang Schalke 04 dalam aksi Bundesliga di Veltins Arena, Gelsenkirchen pada 21 November lalu. – Reuters

“Kami perlu mengekalkan tumpuan dan menjaringkan gol pertama, itu akan mewujudkan asas buat kami untuk terus melaluinya dengan gembira.”

Ingolstadt berhak menerima hormat daripada Bayern dengan rekod baik lima kemenangan, lima seri dan lima kalah dalam musim pertama liga teratas Jerman dan berkedudukan ke-11 liga apabila mengumpul 20 mata.

Jurulatih Ralph Hasenhuettl masih mengekalkan kebanyakan pemain dalam skuad yang memenangi gelaran liga divisyen kedua dan mereka sudah berdepan pasukan utama seperti Wolfsburg, Schalke dan Moenchengladbach setakat ini.

“Mereka berhak berada di mana mereka berada dalam liga dan saya harap mereka akan terus meningkat,” kata kapten Bayern, Philipp Lahm, yang pernah bermain bersama Hasenhuettl dalam liga remaja Bavaria.