Bayern belasah Arsenal 5-1

Bayern belasah Arsenal 5-1

PARIS, 5 Nov (AFP) – Harapan Arsenal untuk melayakkan diri ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara Eropah terus terumbang-ambing selepas dimalukan oleh Bayern Munich 5-1, semalam.

Sebelum ini rekod tanpa kalah Bayern musim ini dicalarkan oleh Arsenal 2-1 dua minggu lalu namun skuad Pep Guardiola bangkit untuk membalas dendam dengan kemenangan besar di Allianz Arena. Robert Lewandowski memberikan gol pendahuluan Bayern menerusi tandukan pada aksi 10 minit permainan.

Thomas Mueller menambah gol kedua pada minit ke-30 menerusi sepakan kencang yang melantun kepada Per Mertesacker dengan penjaga gol Petr Cech gagal menepis bola keluar gawang.

Kemudian giliran David Alaba meledak sebelum tamat masa pertama manakala pemain gantian, Arjen Robben untuk gol keempat.

Olivier Giroud memperoleh gol sagu hati untuk The Gunners namun Mueller sekali lagi merembat masuk beberapa minit sebelum tamat permainan untuk gol kelima Bayern.

Pertahanan Bayern Munich, David Alaba (tengah) meraikan jaringan semasa menentang Arsenal dalam aksi Kumpulan F di Munich semalam. – AFP
Pertahanan Bayern Munich, David Alaba (tengah) meraikan jaringan semasa menentang Arsenal dalam aksi Kumpulan F di Munich semalam. – AFP

Ia adalah kekalahan terbesar The Gunners di peringkat Eropah yang sebelum ini tewas 4-0 kepada AC Milan pada musim 2011/12.

Malam sukar bagi pasukan London semakin teruk ketika Olympiakos pulih dari ketinggalan satu gol untuk menewaskan Dinamo Zagreb 2-1, yang meninggalkan Arsenal dengan enam mata di belakang pasukan dari Greece, dan Bayern dengan berbaki dua perlawanan.

Zenit St Petersburg pula menjadi pasukan ketiga yang mara ke pusingan 16 terakhir ketika juara Rusia itu mengekalkan rekod 100 peratus dengan kemenangan di Lyon, sementara Barcelona menghampiri kelayakan selepas mengatasi BATE Borisov 3-0.