Bayern belasa...

Bayern belasah Arsenal

MUNICH, 16 Feb – Masa depan Arsene Wenger semakin terjerumus dalam keraguan awal pagi tadi ketika Thiago Alcantara menjadi inspirasi dalam kemenangan 5-1 Bayern Munich ke atas Arsenal, menyebabkan The Gunners berdepan dengan nasib tujuh kali tersingkir dari peringkat 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara.

Bayern melanjutkan rekod kemenangan mereka dalam Liga Juara-Juara kepada 16 kemenangan di laman sendiri dengan menghentam Gunners dengan tiga gol dalam masa 10 minit di separuh masa kedua.

“Ia adalah persembahan yang bagus, memang tidak dijangka-jangka,” kata Thiago, yang telah menjaringkan dua gol.

“Kami bermain di laman sendiri, sedar bahawa kami perlu menjaringkan beberapa gol dan semuanya berjalan dengan baik di separuh masa kedua.”

Kekalahan di Allianz Arena itu telah meningkatkan tekanan ke atas Arsene Wenger bagi perlawanan kedua pada 7 Mac dengan hanya berbekalkan satu gol daripada Alex Sanchez.

Bintang penyerang Bayern Munich, Thomas Mueller (tengah) meraikan jaringan kelima pasukannya bersama rakan sepasukan dalam aksi Liga Juara-Juara menentang Arsenal di Allianz Arena. – AFP
Bintang penyerang Bayern Munich, Thomas Mueller (tengah) meraikan jaringan kelima pasukannya bersama rakan sepasukan dalam aksi Liga Juara-Juara menentang Arsenal di Allianz Arena. – AFP

Jaringan menarik Arjen Robben memberikan Bayern pendahuluan di minit ke-11, tetapi Sanchez menyamakan kedudukan dengan merembat bola yang melantun selepas sepakan penaltinya berjaya ditepis Manuel Neuer.

Kedua pasukan terikat seri 1-1 di separuh masa pertama, tetapi Bayern meningkatkan tekanan mereka di separuh masa kedua untuk memburu jaringan pendahuluan.

Dan jaringan itu hadir apabila Robben membuat hantaran kepada Philipp Lahm yang kemudian melakukan hantaran lintang menemui Lewandowski yang membuat tandukan menewaskan David Ospina.

Penyerang Poland itu kemudian menerima hantaran Xabi Alonso dan melorongkannya dengan bijak kepada Thiago, yang merembat kencang menewaskan Ospina.

Lewandowski menggegarkan palang di minit ke-61, tetapi Thiago menambah jaringan keduanya apabila tendangannya di luar petak yang terbias melepasi penjaga gol Arsenal.

Mueller masuk bagi menggantikan Lewandowski di minit ke-86 dan memanfaatkan peluangnya dua minit kemudian dengan mendapatkan gol kelima Bayern selepas menerima umpanan Thiago. – AFP